Salamiah Hassan
Salamiah Hassan
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi Salamiah Hassan mengakui arwah suaminya, Allahyarham Gery Hughes adalah antara pendorong disebalik keputusannya untuk menutup aurat.

Penyanyi berusia 72 tahun itu mengambil keputusan untuk bertudung sejak Mac lalu kerana pilihan hatinya sendiri selain sudah sampai waktu. 

"Saya berhijab bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah SWT dan arwah pun pernah suruh. Sebelum ini saya sering mewarnakan rambut kerana ingin menutup uban-uban halus yang tumbuh. Apabila melihat situasi itu, arwah bertanya kenapa tidak berhijab untuk menutup uban.

"Imbas kembali perbualan itu, arwah turut memuji anak saudara saya yang bertudung kerana dilihat cantik dan manis. Saya menegaskan kaum wanita bertudung bukan untuk menutup uban sebaliknya atas tuntutan agama.

"Namun arwah menjelaskan kenapa tidak bertudung untuk menutup aurat dan dalam masa yang sama sembunyikan uban," katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkininya selepas pemergian suaminya akibat kanser kolon, Salamiah berkata, sebagai manusia biasa dia tidak mampu menutup rasa kesedihan yang masih berbekas dalam hatinya.

"Saya sudah berjanji dengan diri untuk tidak menangis apabila berbicara mengenai arwah. Saya harus kuat dan bangkit meneruskan hidup. 

"Jika bercerita mengenai arwah banyak kenangan yang kami kongsikan bersama. Sebagai saudara baru dalam Islam, arwah membaca Al-Quran dan penterjemahan dalam Bahasa Inggeris, malah dia juga turut merujuk kepada saya setiap kali membaca," kata Salamiah yang kematian suami pada 4 November lalu.

Salamiah menamatkan zaman solo selama 35 tahun apabila memilih Hughes sebagai suami pada 1 September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 1:30 PM