SALAMIAH bersama suaminya, Gerry Hughes.
SALAMIAH bersama suaminya, Gerry Hughes.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi veteran yang popular dengan lagu Gelombang dan Menghitung Hari, Salamiah Hassan kini menetap di Tasmania, Australia selepas berkahwin dengan lelaki berasal dari Liverpool, United Kingdom (UK), Gerry Hughes pada 1 September lalu. 

Anaknya yang juga penyanyi, Atilia Haron, 48, berkata, walaupun sedih dia terpaksa akur dengan keputusan ibunya. 

"Alhamdulillah, saya gembira ibu saya berkahwin apatah lagi dia sudah menjadi ibu tunggal selama 35 tahun. Dia menjaga dan membesarkan kami adik-beradik, jadi ini waktu untuk dia ada pasangan. Selama ini dia seorang yang sangat berdikari.  

"Tapi sedih, dia sudah pindah di sana. Bulan lepas ayah saya meninggal dunia. Pada masa sama juga, dia ke Tasmania. Insya-Allah hujung bulan ini dia balik sini sebab ada persembahan," katanya kepada Harian Metro. 

ATILIA. FOTO Aziah Azmee
ATILIA. FOTO Aziah Azmee

Menurut Atilia, ibunya ambil masa untuk berkongsi mengenai perkahwinan itu selepas sudah ada kepastian. 

"Waktu dia cakap nak kahwin, sebagai anak pada mulanya ingat dia sakit. Dia selalu pergi buat pemeriksaan kesihatan, sebab sebelum ini dia ada kanser payudara. Tapi kali ni dia cakap ada benda nak beritahu. Kami pun bersedia untuk berita buruk. 

"Masa dia cakap nak kahwin tu, kami gembira tapi tertanya-tanya siapa lelaki itu. Dia terus buat panggilan video. Kami bercakap dengan Gerry dan dapat rasa dia lelaki yang baik. Selama ini dia tak pernah cakap sampai hari dia beritahu nak kahwin tu. Dia juga tunjuk video Gerry melamar," katanya.

Menurut Atilia, Gerry juga seorang duda tiga anak.

"Mengenali mak saya, dia takkan buat sesuatu yang dia tak pasti. Jadi, apabila dia tak pasti, itu yang dia tak beritahu kami lagi. Selepas semua okay dan pasti baru dia beritahu," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 1:07 PM