Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Abang tiri penyanyi terkenal Salamiah Hassan yang juga bekas pemain piano Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ahmad Shariff, 82, meninggal dunia di hospital di Ampang, di sini, 9 malam tadi akibat masalah paru-paru.

Salamiah, 64, ketika dihubungi berkata, arwah abangnya seorang yang suka berahsia hinggakan mereka sekeluarga tidak tahu dia menghidap masalah paru-paru.

Menurut Salamiah lagi, kira-kira dua minggu lalu Allahyarham baru kehilangan isteri tercintanya yang meninggal dunia.

Salamiah berkata, belum pun kesedihan kehilangan kakak iparnya reda, mereka sekali lagi diuji dengan kematian arwah abangnya.

Reda dengan apa yang berlaku, penyanyi yang popular dengan lagu Gelombang ini berkata, arwah abangnya itu pernah mengiringi persembahan Konsert Gelombang Salamiah Hassan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Januari tahun lalu.

Jenazah Allahyarham Ahmad Shariff akan dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Cheras sebelum dikebumikan, 10 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 11:52 PM