Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan berundur daripada menjalankan amanah biarpun berdepan kritikan dan kecaman terutama dalam melaksanakan penyasaran subsidi serta memerangi rasuah dengan tegas.

Perdana Menteri berkata, usaha itu penting bagi mengukuhkan asas ekonomi selepas hasil negara tiris, disakau, dicuri manakala subsidi disalurkan tidak sampai kepada golongan sasar.

"Soal diesel kita tahu, penyeludupan itu berleluasa, itu sudah rahsia umum puluhan tahun, kita bantu nelayan tapi ada yang menggunakan menjual kepada nelayan asing, kita tahu di kiosk petrol di sempadan itu penuh dengan pengambilan, pembelian hasil subsidi untuk kegunaan negara lain.

"Apakah itu tidak merisaukan? Sudah tentu ia merisaukan. Sebab itu saya kata dalam sistem negara yang memberikan ruang dan kebebasan, ia harus ada bukan sahaja pimpinan politik, tetapi penjawat awam, pimpinan swasta, pimpinan kreajaan termasuk agensi penting untuk mengambil sikap berani dan bertanggungjawab," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Kementerian Kewangan di sini, tadi.

Anwar berkata, setiap usaha dilaksanakan kerajaan termasuk penyasaran subsidi dan membanteras rasuah penting supaya ia dapat dipulangkan semula kepada rakyat.

Tegasnya, jika rasuah tidak tangani, ia akan menjadi endemik kepada negara dan setiap pihak mempunyai komitmen tegas untuk memerangi jenayah itu.

"Kerana ketirisan, susah payah kita buat penyasaran subsidi diesel, tapi penguatkuasaan kebocoran masih diteruskan, ia tidak adil, ia mengundang satu malapetaka kepada negara.

"(Penyasaran subsidi) untuk apa saudara? Untuk kembalikan kepada rakyat, sebab itu saya ambil sikap keras terhadap rasuah, pimpinan negara, menteri tak boleh campur dalam urusan kontrak dan tender, rundingan terus, semua dibatalkan dan ini tidak semestinya popular dalam kalangan atasan kerana kita sudah biasa dengan budaya begitu rupa," katanya.

Perdana Menteri berkata, masih ada masalah asas di beberapa negeri masih belum selesai seperti isu air di Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Sabah.

Katanya, sebagai contoh pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) memerlukan sumber air dan kemudahan pemuliharaan Sungai Perak yang baik.

"Jadi kita ada jangka panjang. Apakah saya boleh lengahkan? Tak boleh ini hal mendesak bagi rakyat. Tapi berapa jumlah diperlukan? Untuk KGIP RM4 bilion keseluruhannya. Arahan saya harus mula tahun ini tak mahu tangguh. Hal menyentuh masalah asas rakyat mesti diselesaikan.

"Prasarana Kedah, kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), kita perlu pengeluaran padi lebih tinggi untuk keperluan sekuriti makanan negara ini. Unjuran awal diperlukan RM3 bilion, terkini RM5 bilion.

"Adakah kita ada pilihan? Tak ada pilihan. Oleh demikian penyasaran subsidi banteras, rasuah, elak ketirisan perlu dilakukan dan bantulah selamatkan negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 10:46 AM