SALAH satu bangunan milik Organisasi Trump, di New York. FOTO AFP
SALAH satu bangunan milik Organisasi Trump, di New York. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Organisasi Trump pada Isnin mengumumkan perjanjian untuk bekerjasama dengan pemaju Arab Saudi di menara bertingkat tinggi dekat bandar pantai Jeddah iaitu projek terbarunya di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu.

Trump Tower Jeddah akan menyasarkan pasaran mewah Arab Saudi dan pelabur antarabangsa, kata pemaju hartanah Dar Global dalam satu kenyataan akhbar.

Dar Global adalah anak syarikat antarabangsa pemaju Arab Saudi, Dar Al Arkan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyerahkan pengurusan empayar hartanahnya kepada anak lelakinya selepas memegang jawatan pada 2017, walaupun dia memegang sahamnya dalam Organisasi Trump.

Urusan perniagaan asingnya mendorong pengkritik membunyikan amaran mengenai kemungkinan konflik kepentingan, termasuk dalam laporan Kongres 2022 yang mendapati kerajaan asing enam negara Arab Saudi antara yang membelanjakan lebih AS$750,000 (kira-kira RM3.54 juta) di sebuah hotel Washington, milik Trump, sambil cuba mempengaruhi pentadbiran pada tahun 2017 dan 2018.

Trump, calon Republikan dalam pilihan raya presiden tahun ini, menjalin hubungan rapat dengan Riyadh ketika pentadbirannya, memilih kerajaan negara Teluk itu untuk lawatan asing pertamanya.

Pentadbirannya mempertahankan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto Arab Saudi yang menurut agensi perisikan AS mengarahkan pembunuhan kejam pada 2018 terhadap pengkritik Saudi yang berpangkalan di AS, Jamal Khashoggi.

Menantu Trump, Jared Kushner sejak itu menarik perhatian kerana memulakan firma ekuiti persendirian yang dilaporkan menerima AS$2 bilion (kira-kira RM9.4 bilion) dana yang dikawal oleh Putera Mohammed.

"Kami sangat teruja untuk meluaskan pengaruh kami di Timur Tengah dan membawa standard kemewahan Trump ke rantau ini melalui hubungan lama kami dengan Dar Global.

"Kerjasama ini merangkumi visi bersama kami untuk mencipta pembangunan mercu tanda yang memancarkan kemewahan, kualiti dan kecanggihan," kata Eric Trump, anak bekas presiden dan naib presiden eksekutif Organisasi Trump, dalam satu kenyataan mengumumkan Trump Tower Jeddah pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 10:24 AM