Mazlan (kiri) dan Yushaimi akan bersama dengan Awesome TV mulai 1 Julai 2022.
Mazlan (kiri) dan Yushaimi akan bersama dengan Awesome TV mulai 1 Julai 2022.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Awesome TV mengumumkan pelantikan Mazlan Mahdi sebagai Ketua Pegawai Operasi Awesome TV dan Datuk Yushaimi Yahaya sebagai Ketua Editor Berita 757 berkuatkuasa 1 Julai 2022.

Sebagai Ketua Pegawai Operasi, Mazlan memiliki pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam lapangan penyiaran membabitkan projek berkaitan pembangunan, pelaksanaan, pengoperasian infrastruktur digital TV.

Mazlan juga sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelbagai projek berimpak tinggi dan terbabit secara langsung dengan pembangunan infrastruktur teknologi untuk stesen-stesen penyiaran negara seperti MYTV dan Astro.

Beliau juga aktif dalam membangunkan kod teknikal buat Malaysia melalui Malaysian Technical Standards Forum Berhad (MTSFB) serta penerbitan kandungan multimedia dan muzik.

Mazlan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn Bhd dan bertanggungjawab menentukan hala tuju syarikat dalam usaha memacu agenda Projek Pendigitalan Negara untuk mentransformasikan industri penyiaran negara dari analog ke digital.

Sementara itu, Yushaimi pula memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam industri media negara, khususnya di bidang kewartawanan selain diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai peranan editorial dan jawatan kanan di bahagian pengurusan.

Beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi di New Straits Times (Press) Malaysia Bhd (NSTP) selepas mengemudi bahagian operasi editorial Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times untuk kedua-dua segmen digital dan penerbitan tradisional sebagai Ketua Pengarang NSTP selama beberapa tahun.

Yushaimi juga bekas Ketua Pengarang Malay Mail dan Penasihat Media Kumpulan Redberry Group.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, kedua-dua figura hebat ini mampu memacu hala tuju strategik syarikat khususnya dalam beberapa bidang kritikal terutamanya perkara berkaitan dengan pembangunan dan pengaplikasian teknologi, pembangunan informasi serta pelaksanaan fungsi dan kecekapan operasi syarikat secara keseluruhan.

"Kami yakin, pelantikan Mazlan sebagai Ketua Pegawai Operasi bakal membawa Awesome TV ke satu tahap peralihan baharu yang mampu membantu pertumbuhan prestasi syarikat ke arah kecemerlangan. Pengalaman beliau khususnya dalam bidang telekomunikasi dan penyiaran digital boleh diguna pakai dalam pembangunan operasi Awesome TV seterusnya membantu menentukan hala tuju syarikat yang lebih berinovasi dan berteknologi tinggi.

"Sementara Yushaimi adalah seorang tokoh yang sangat dihormati dalam kalangan pengamal kewartawanan dan berpengalaman serta pengetahuan beliau dalam menerajui syarikat penerbitan utama negara seperti Kumpulan NSTP dan Malay Mail sudah tentu boleh dimanfaatkan dengan keberadaan beliau mengemudikan pasukan Berita 757," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 3:08 PM