Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), mengumumkan pelantikan Mustapha Kamil Mohd Janor, 54, sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) berkuat kuasa semalam.

Dengan jawatan berkenaan, Mustapha akan melapor terus kepada Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid selain bertanggungjawab untuk mengurus keseluruhan operasi akhbar harian Bahasa Inggeris tertua negara itu.

Mustapha sebelum ini memegang jawatan Pengarang Urusan Business/Lifestyle dan bertanggungjawab terhadap operasi sisipan Business Times (BT) dan Life and Times.

Beliau memiliki 26 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan dan menyertai NST pada 1989 sebagai wartawan sebelum dilantik sebagai Pengarang Bersekutu BT pada 2002.

Selain itu, Mustapha juga pernah menjadi koresponden NST di New York bermula 1999 hingga 2002.

Sementara itu, Yushaimi Maulud Yahaya, 47, pula dilantik sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan NST.

Yushaimi menyertai NST pada 1989 dan pernah menjawat jawatan Ketua Pengarang Malay Mail sebelum dilantik sebagai Pengarang Eksekutif NST pada 2012 bagi menggantikan Abdul Rashid Yusof.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pelantikan Mustapha dan Yushaimi diharap dapat meningkatkan lagi standard terbitan serta produk digital NST bagi menghadapi persaingan dalam bidang media di negara ini.

“Justeru, pelantikan ini membayangkan usaha MPB untuk memastikan kelancaran operasi dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan MPB sebagai kumpulan media terbesar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:37 AM