Abdul Jalil bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NSTP. FOTO NSTP
Abdul Jalil bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NSTP. FOTO NSTP
Bisnes HM


MEDIA Prima Bhd mengumumkan persaraan Datuk Seri Abdul Jalil Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) berkuat kuasa pada 31 Mac 2019.

Abdul Jalil, 60, memaklumkan kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Media Prima mengenai hasratnya untuk bersara.

Beliau menyertai NSTP sebagai Pengarang Urusan Kumpulan pada Oktober 2011 dan seterusnya memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada Mac 2017.

Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor, akan menjalankan tugas tambahan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Interim bermula 1 April 2019.

Kumpulan juga mengumumkan pelantikan Datuk Yushaimi Maulud Yahaya, sebagai Ketua Pegawai Operasi NSTP, berkuat kuasa 1 April 2019.

Beliau akan melaporkan diri kepada Ketua Pegawai Eksekutif NSTP.

Yushaimi, yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang NSTP, mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan dan memegang pelbagai peranan editorial di NSTP dan Malay Mail Sdn Bhd.

Mengulas mengenai perubahan itu, Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar berkata, ahli lembaga NSTP berterima kasih kepada Abdul Jalil atas dedikasi dan sumbangannya kepada syarikat.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depan beliau. Kami juga gembira kerana Datuk Yushaimi menerima pelantikan sebagai Ketua Pegawai Operasi.

“Bersama Mustapha Kamil, kami akan memastikan peralihan ini berjalan lancar demi menjamin keyakinan pihak berkepentingan di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, pihaknya menaruh keyakinan penuh bahawa Mustapha Kamil dan Yushaimi akan meneruskan kepimpinan yang berwibawa di NSTP dan menjalankan inisiatif transformasi perniagaan yang dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:43 PM