PENGARAH Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor. FOTO Munira Abdul Ghani
PENGARAH Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor. FOTO Munira Abdul Ghani
Syarifah Dayana Syed Bakri


MEDIA Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Media Prima.

Kumpulan turut mengumumkan pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), berkuat kuasa 2 Oktober 2018.

Sebagai Pengarah Eksekutif, beliau bertanggungjawab dalam keseluruhan fungsi operasi berita dan editorial di Media Prima.

Ini termasuk penetapan hala tuju strategik serta pemantauan operasi berita di Rangkaian Televisyen Media Prima dan NSTP.

Beliau juga akan memberi fokus ke arah mengoptimumkan potensi unit berita Kumpulan sejajar dengan usaha transformasi perniagaan Media Prima.

Mustapha Kamil, 57, berpengalaman selama 26 tahun dalam bidang kewartawanan dan memulakan kerjayanya sebagai Wartawan Kadet di NSTP pada tahun 1989.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan di NSTP, termasuk sebagai Koresponden Luar Negara NSTP di New York, Pengarang Urusan di Business Times, dan Pengarang Kumpulan di New Straits Times, sehinggalah perletakan jawatan beliau pada Mei 2016.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, ahli lembaga pengarah dan pengurusan Media Prima mengalu-alukan pelantikan Mustapha Kamil ke dalam Kumpulan.

“Selain dihormati dalam bidang kewartawanan, pengalaman serta pengetahuan beliau berkenaan Kumpulan, sangat bernilai ketika kami terus berkembang.

“Tiga tahun kebelakangan ini memperlihatkan Media Prima secara agresif mewujudkan platform digital dengan membawa kandungan berita kami dalam talian menerusi portal berita dan aliran video (video streaming).

“Kami yakin Mustapha Kamil mampu mengetuai operasi berita dan editorial justeru mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai penyedia berita digital utama di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:56 PM