ABDUL Jalil (kiri) dilantik CEO baru NSTP manakala Mohammad Azlan (tengah) akan meneruskan cabaran baru. Yushaimi pula dilantik Pengarang Kumpulan NST yang baru. FAIL NSTP
ABDUL Jalil (kiri) dilantik CEO baru NSTP manakala Mohammad Azlan (tengah) akan meneruskan cabaran baru. Yushaimi pula dilantik Pengarang Kumpulan NST yang baru. FAIL NSTP


Kuala Lumpur: Media Prima Bhd melantik Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), berkuat kuasa 1 Mac.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini, Media Prima Berhad (Media Prima) berkata, tempoh perkhidmatan CEO sekarang, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, akan berakhir 28 Februari.

Dalam kenyataannya, Media Prima menyatakan Mohammad Azlan akan meneruskan cabaran baru sebagai CEO syarikat pembangunan infrastruktur utama di Malaysia.

Abdul Jalil, 58, yang sebelum ini Pengarang Urusan Kumpulan NSTP diberi tanggungjawab terhadap operasi keseluruhan NSTP dan fokus dalam pengukuhan perniagaan utama serta penjanaan peluang baru untuk meningkatkan prestasi syarikat selaras perancangan jangka panjang kumpulan.

“Abdul Jalil berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan komunikasi strategik serta pernah memegang pelbagai jawatan utama di Pejabat Perdana Menteri, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Reuters dan Bernama.

“Beliau juga ahli penasihat dan ahli Lembaga Pengelola Bernama dan akan melapor diri kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, 1 Mac,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, Media Prima turut mengumumkan pelantikan Yushaimi Maulud Yahaya, 49, sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) yang baru berkuat kuasa 1 Mac.

“Yushaimi bertanggungjawab dalam pengurusan operasi editorial keseluruhan akhbar berkenaan termasuk inisiatif penjenamaan semula.

“Beliau mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam bidang kewartawanan dan memulakan kerjaya sebagai wartawan The Malay Mail pada 1990 selepas melalui skim NSTP Pre-Entry Training.

“Pada 2002, beliau dipilih untuk ke Jepun di bawah program Fellowship Press Foundation Nihon Shinbun Kyokai dan sejak itu memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Editor Malay Mail, Penasihat Editorial Kumpulan Redberry dan Editor Eksekutif (Berita) NST,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Sri Amrin Awaluddin, berkata Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Media Prima merakamkan ucapan penghargaan kepada Mohammad Azlan.

“Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Media Prima ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohammad Azlan di atas dedikasi dan sumbangan beliau kepada Kumpulan.

“Beliau juga mengetuai pelbagai inisiatif digital di NSTP selaras dengan permintaan yang meningkat untuk kandungan atas talian.

“Hasilnya adalah peningkatan trafik di laman web berita, media sosial, penerbitan digital dan platform kandungan berasaskan internet lain seperti versi digital Harian Metro, BH, Harian Metro dan NST.

“Media Prima sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau.“ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 7:04 PM