Zynakal
Zynakal
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Perkongsian penyanyi Zynakal untuk tidak meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) satu ketika dulu mengundang rasa kurang selesa segelintir pihak.

Pengakuan Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli itu dikhuatiri mempengaruhi golongan remaja lain untuk mengambil keputusan yang sama.

Lebih membimbangkan, Zynakal mengakui mengambil keputusan itu dibuat secara diam-diam dan dia meninggalkan UiTM tanpa memaklumkan sesiapa.

Zynakal ketika berkongsi perkara itu dalam satu temubual di saluran YouTube Borak Dengan Miro itu berkata, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan UiTM begitu saja.

"Saya juga tidak mengambil barang-barang seperti beg, baju, gel rambut dan banyak lagi. Semuanya dibiarkan saja dalam almari.

"Rakan sebilik ada menelefon bagi bertanya keadaan saya. Tanpa berselindung, saya beritahu yang saya sudah habis belajar. Saya juga memberikan kebenaran untuk dia menjual barang-barang yang ditinggalkan itu kepada sesiapa yang berminat. Itu hal sebenar yang saya perlu korbankan. Anda perlu korbankan sesuatu untuk dapatkan sesuatu," katanya.

Perkongsian penyanyi yang popular dengan lagu Sakit itu tidak menerima maklum balas positif dalam kalangan pengguna media sosial.

"Pada awalnya rancang nak sambung pengajian di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan). Namun, tak sempat kerana saya terlewat daftar dan hantar borang. Mak pula mahu saya terus sambung belajar, jadi saya memilih UiTM Shah Alam.

"Di situ bermulanya perjalanan 'nakal' saya. Ia terjadi sebab saya berada di sekolah asrama selama lima tahun. Ia seperti penjara kerana kami tidak terdedah dengan dunia luar.Keluar pun seminggu sekali pada hujung minggu.

"Jadi, saya macam dah penat belajar dan waktu itu saya mahu guna otak (untuk hal lain) dan nak keluar (dari dunia pembelajaran). Akhirnya saya jadi tak boleh terus belajar," katanya.

Sebelum ini, Zynakal pernah mendedahkan yang dia pernah menderita gangguan bipolar pada penghujung 2019 akibat kecaman yang diterimanya di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 2:54 PM