ARTIS, Zynakal. FOTO Mahzir Mat Isa
ARTIS, Zynakal. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


BERMULA sebagai pencipta lagu artis popular, penyanyi muda berbakat besar, Zynakal, 20, terus memberanikan diri mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Ternyata percubaannya menerusi single pertama berjudul Terbang berjaya mencuri perhatian peminat apabila mencatat dua juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan September tahun lalu.

Apa yang menarik, klip video lagu Terbang yang diciptanya bersama Sufian Suhaimi, Sabbala dan Faiz Ruzaini itu dilancarkan di Hotel Galle Face, Colombo, Sri Lanka.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur dengan sambutan positif daripada peminat itu.

“Saya bermula sebagai penyanyi rap dan sudah dua tahun berkecimpung dalam bidang muzik.

Saya lebih selesa bekerja di belakang tabir sebelum ini kerana kurang keyakinan untuk bergelar penyanyi kerana wajah tidak kacak.

“Sebagai kelainan, saya dan syarikat Virtuosity Production membuat gimik melancarkan Terbang di luar negara. Alhamdulillah, ia diterima baik peminat dan menyuntik semangat untuk saya terus berkarya,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Seni di Johor Bahru, Johor itu juga tidak cepat melatah dengan dakwaan segelintir pihak dirinya mahu menumpang nama rakan artis seperti Ismail Izzani, Sufian Suhaimi, Aiman Tino dan Haqiem Rusli kerana berkawan rapat dengan mereka.

“Saya sudah berkawan dengan barisan artis popular terbabit terutama Ismail sebelum mereka bergelar penyanyi.

Saya sudah lali orang kata saya mahu tumpang populariti rakan artis kerana sering dilihat bersama mereka di laman sosial,” katanya.

Ditanya keunikan namanya pula, kata Zynakal, dia sudah menggunakan nama itu sejak di bangku sekolah.

“Saya juga menggunakan nama itu ketika bergelar komposer untuk lagu Sabar. Ada maksud tersirat di sebalik nama itu.

Saya mahu membuktikan bidang nyanyian adalah kerjaya serius dan tidak akan menghampakan kepercayaan keluarga dan peminat,” katanya.

RANCANG DUET DENGAN ZAMANI

PASTI ramai yang tidak tahu Zynakal adalah anak saudara penyanyi popular Zamani.

Menurut Zynakal, pada mulanya dia mahu hidup berdikari dan tidak mahu menumpang populariti Zamani untuk mendapat tempat dalam bidang muzik tanah air.

“Zamani yang dipanggil Pak Su adalah adik bongsu ibu saya, Zuraidah. Namun, akhirnya ramai yang tahu mengenai perkara itu. Saya juga percaya, ia fakta yang tidak perlu disembunyikan lagi,” katanya.

Zynakal berkata, dia juga bangga kerana memiliki bapa saudara yang juga penyanyi bertaraf legenda seperti Zamani.

“Sejak kecil, Pak Su selalu memberi sokongan untuk saya mendalami bidang muzik. Saya gembira apabila dia membuat kemunculan semula menerusi program popular Gegar Vaganza.

“Pada masa sama, saya juga merancang mahu menghasilkan lagu duet dengannya pada masa depan,” katanya.

Sebelum ini, Zynakal pernah mencipta lagu untuk penyanyi popular seperti Ismail Izzani (lagu Sabar), Adzrin (Bukan Yang Terbaik) dan penulis lirik lagu Terasa Cinta (dendangan Fara Hazel dan Aiman Tino).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 7:30 AM