Syafiq Kyle dan Mimi Lana.
Syafiq Kyle dan Mimi Lana.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pelakon Syafiq Kyle enggan melayan pertanyaan mengenai hubungannya dengan pelakon Mimi Lana yang dituduh netizen sudah putus.

Syafiq, 30, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, perkara itu mungkin boleh diberi perhatian ketika zaman mudanya tetapi menganggap ia tidak berfaedah untuk dilayan.

"Kadang-kadang kalau jadi macam ni, bukan saya tak nak jawab tapi saya jadi malu. Saya segan. Kita bukan bercinta umur 12 tahun. Esok lusa nak kahwin dah ni, lepas tu nak layan perkara macam tu lagi.

"Mungkin lima tahun lepas saya boleh layan perkara macam ini tapi sekarang dia jadi 'cringe'. Tapi selagi kami berada dalam hubungan yang baik, alhamdulillah.

"Kita akan kongsi perkara yang lebih baik. Bagi perkara kecil itu, saya tak peduli sebenarnya sebab ia buang masa saya juga," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta aplikasi myIOU, semalam.

Menurut Syafiq, peminatnya juga tidak gemar ambil tahu perkara remeh yang digembar-gemburkan oleh netizen.

"Jujurnya, peminat saya tak pernah bertanyakan perkara ini terutama membabitkan perhubungan kepada saya. Sepanjang saya mengenali mereka, mereka hanya nak tahu perkara yang saya buat dari segi kerjaya," katanya.

Berkongsi mengenai pelantikannya sebagai duta aplikasi itu, Syafiq yang popular menersui drama Nur berkata kontraknya berlangsung selama setahun.

"Tahun lepas saya menjadi wajah kempen saja, Alhamdulillah tahun ini mereka melantik saya menjadi duta. Kontrak selama setahun bermula bulan ini hingga Februari tahun depan. 

"Komitmen saya pun tak berat, ia biasa saja. Cumanya, pemilihan saya lebih pada sasaran golongan Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 11:48 AM