Syafil Syazwan Jefri


TIDAK lengkap kehidupan seseorang yang bergelar selebriti sekiranya tidak dikejar lampu sorot.

Bukan saja menjadi bualan media, gerak-geri mereka juga akan mencuri tumpuan sesetengah netizen atau 'tentera bawang' yang gemarkan kisah hangat selebriti tanah air.

Tidak kiralah sama ada selebriti itu terkenal atau tidak, tapi selagi ada nama, pernah keluar di mana-mana platform media, kenalah tadah telinga dan keringkan hati untuk mendengar komen, kritikan, kecaman, cadangan serta macam-macam lagi daripada 'tentera bawang'.

Terbaharu yang dibualkan 'tentera bawang' ialah mengenai video pelawak dan pengacara popular, Shuk Sahar yang sedang menjual air minuman di tepi jalan di sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur 'diserang' seorang lelaki dan menterbalikkan bekas air minuman jualannya itu.

Jika berdasarkan apa yang dilihat dalam video yang mula tular sejak Rabu lalu itu, Shuk kononnya tidak mengenali individu berkenaan.

Dalam kejadian itu, gerai minuman diusahakan Shuk bersama pembantu peribadinya, Iskandar Nurzaman diterbalikkan lelaki terbabit yang berang selepas ditegur Iskandar kerana menyindir Shuk.

Insiden berlaku apabila lelaki itu mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi dan bernada sinis dan mentertawakan Shuk yang perlu berniaga air di tepi jalan selepas ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio kerana kesilapan sendiri.

Adakah 'tentera bawang' akan berdiam diri? Tentu saja tidak!

Ada di antara mereka mula melakukan siasatan ala ejen Nora Zain sekali gus membongkar beberapa kesilapan kecil yang mengukuhkan lagi pendapat mereka bahawa adegan 'serangan kurang padu' itu hanyalah lakonan dan helah saja.

ANTARA komen netizen atau 'tentera bawang' di media sosial mengenai video Shuk yang tular itu.
ANTARA komen netizen atau 'tentera bawang' di media sosial mengenai video Shuk yang tular itu.

Di Twitter, ramai juga yang berkongsi video itu dan pada masa sama meluahkan pendapat masing-masing. Ada yang menganggap itu sebagai strategi untuk meraih perhatian dan strategi Shuk mempromosikan perniagaannya.

Seorang pengguna Twitter menulis,

"Demi sebuah 'viral'", manakala seorang lagi menulis, "Susah sangat ke nak promosi macam orang lain. Cakap, jual dekat sekian sekian, dari pukul berapa sekian sekian. Nak juga buat cara begini."

"Tengok pun dah tahu berlakon," tulis seorang pengguna Twitter yang lain.

Di Facebook, ada pengguna laman sosial itu yang menimbang situasi yang berlaku secara bernas.

"Aku tengok dah 'live' dia tu, sebab tu aku kata nampak macam 'content'. Yelah, tiba-tiba saja. 'Provoke' pun macam apa saja. Air dalam balang tu pun sikit, lepas tu berniaga dekat tempat yang susah orang berhenti.

"Orang pertama yang beli tu pun boleh nampak dah lama ada dekat tepi tu tak jauh dari mereka berniaga. Barang dia meniaga pun tak banyak. Kuantiti air tu pun sikit. Dari cara 'brother' tu 'provoke' pun macam apa saja. Tiba-tiba datang, lepas tu yang baju merah tu pun eh tiba-tiba nak marah macam tak 'ngam' pulak cara mereka nak gaduh.

"Kalau betul apa yang jadi ni, maksud aku kalau betul bukan 'content', memang patut pun 'brother' Myvi tu kena tindakan. Kalau betul benda ni, apa yang 'bro' Myvi tu buat memang tak patut," tulisnya.

Daripada apa yang berlaku, kita mungkin boleh simpulkan dari dua perspektif.

Yang pertama, mungkin itu cara Shuk melakukan promosi dan gimik bagi melariskan perniagaan atau namanya.

Yang kedua kita patut memuji kesungguhan Shuk yang benar-benar bekerja keras untuk meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga. Kita adalah orang luar yang melihat dari luar dan tidak tahu apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Sementara itu, Shuk dalam kenyataannya kepada Harian Metro semalam menafikan dia melakukan gimik atau menampilkan lakonan dalam video itu.

"Orang nak cakap dan anggap apa pun, biarlah. Apa yang penting saya mencari rezeki halal. Tiada apa yang saya nak komen lagi.

"Pada sesiapa yang kata saya cuba menipu dengan membuat drama untuk strategi pemasaran jualan itu, saya reda. Ini kerana kalau dijelaskan perkara sebenar pun, orang akan kata macam-macam juga," katanya.

Pada masa sama, Shuk juga sudah berjumpa dengan lelaki terbabit dan mereka juga sudah saling memaafkan.

Dia juga tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:50 AM