ASHEED masih bergiat aktif dalam seni.
ASHEED masih bergiat aktif dalam seni.
Ridzuan Abdul Rahman


PERTENGAHAN tahun lalu, Asheed Def Gab C, 49, tampil dengan single berentak perlahan berjudul Milik Kita terbitan Rock Stage Entertainment (RSE).

Lagu ciptaan Rief SW dan lirik Talib RSE ini didedikasikan kepada semua petugas barisan hadapan yang mempertahankan nyawa demi negara.

Terbaharu, Asheed kini tampil dengan single berjudul Baling yang kembali menonjolkan identitinya ketika bersama Def Gab C.

"Alhamdulillah, sekali lagi Rief SW berganding dengan Talib RSF sebagai pencipta dan penulis lirik lagu ini.

"Ia adalah kesinambungan kolaborasi kedua saya dengan RSE selepas Milik Kita yang mendapat sambutan positif daripada peminat.

"Saya gembira dapat bekerja dengan Rief SW dan Talib serta barisan pemuzik profesional yang terbabit dalam lagu ini iaitu Mus Satira (

gitar), Yan Lefthanded (bass), Bakri Gerhana Ska (drum) dan Aman Keys Farasu (keyboard dan perkusi)," katanya.

Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad berkata, Baling sebenarnya membawa cukup makna iaitu tempat kelahirannya di Kedah.

"Bagaimanapun, dalam konteks lagu ini, Baling diilhamkan dari senario industri muzik tanah air secara sinikal.

"Ia berkaitan kritik sosial terhadap sikap manusia. Macam kata pepatah Melayu, satu jari kita menuding ke arah orang, empat lagi akan menuding ke arah kita semula.

LAGU Baling kembali menampilkan identiti Asheed bersama Def Gab C.
LAGU Baling kembali menampilkan identiti Asheed bersama Def Gab C.

"Ini sikap orang. Dah terkena baru nak terngadah dan berubah," katanya.

Menurutnya, selepas mendengar demo lagu ini, dia berminat membawa lagu Baling kerana iramanya seiras lagu rock 'Santana'.

"Genre ini dah jarang dibawa oleh mana-mana penyanyi pada dekad ini. Respons peminat selepas seminggu dimuatkan di YouTube RSE sangat baik.

"Mereka kata lagu ini agak berlainan dan ada karakter sendiri. Orang dengar sekali pun dah tahu lagu ini nyanyian saya. Sebenarnya, ia tak meniru Santana sangat.

"Kami bukan nak suruh orang bandingkan dengan Santana. Bila saya dapat lagu ini, dalam kepala saya dari awal hingga habis keseluruhan dah tahu macam mana nak buat.

"Jadinya, muzik Santana hanya sebagai penambahan untuk sedapkan lagu ini. Peminat Def Gab C yang menantikan lagu ini dan minta saya kembali bersatu dengan anggota lain," katanya.

Rakaman lagu Baling mengambil masa empat bulan serta dibuat di tiga studio berlainan.

Proses adunan (mixing) akhir dibuat di Bakri Music Workshop (BMW) Studio di Sri Rampai Kuala Lumpur.

"Manakala muzik video juga dibuat di lokasi berlainan kerana keterbatasan

pergerakan semasa era pandemik Covid-19 ini.

"Studio yang terbabit dalam penghasilan lagu dari segi rakaman muzik dan muzik video ialah Stage War Studio (Subang), Heaven Studio (Pandan Indah) dan BMW Studio (Sri Rampai).

"Saya dan RSE berminat menyokong karya terkini sambil mengetengahkan bakat komposer baharu di samping pembabitan orang lama dalam industri," katanya.

Selain YouTube RSE, lagu Baling kini berada di semua digital platform seperti Joox, Spotify, Itunes, Deezer, KKbox dan Apple Music.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 6:13 AM