ANGGOTA Nifael Blues Band semasa membuat persembahan di KL Vintage Festival. Dari kanan Nifael, Royce Sa'ayan, Shaharul Nizam  dan Md Noor Hendrix.
ANGGOTA Nifael Blues Band semasa membuat persembahan di KL Vintage Festival. Dari kanan Nifael, Royce Sa'ayan, Shaharul Nizam dan Md Noor Hendrix.
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Peluang bergandingan dengan pemuzik masyhur negara sejak di bangku sekolah dijadikan azimat anak muda menekuni muzik blues.

Nifael Naqiuddin Shaharul Nizam, 25, berkata dia mula belajar bermain dram seawal usia enam tahun dengan guru pertamanya iaitu pemain dram kumpulan Flop Poppy Allahyarham Azman Ismail atau Man Kanan.

Katanya, atas inisiatif ayahnya, Shaharul Nizam, 52, yang mahukan anak kedua daripada sembilan beradik itu mendapat pendedahan meluaskan mengenai industri muzik sebenar, mereka berdua tekad menubuhkan Nifael Blues Band pada 2010 sewaktu Nifael berusia 12 tahun.

"Anggota asal guitarist dan vocal ialah Allahyarham Joey yang merupakan sessionist bagi ramai artist seperti Siti Nurhaliza dan Inul Daratista.

"Allahyarham Joey sanggup meluangkan masa mendidik saya untuk bermain muzik bersama dengan ayah sebagai bassist serta sanggup menyertai beberapa pertandingan Battle of the Band semata-mata untuk memberi pendedahan dan mengetengahkan Nifael Blues Band kepada khalayak ramai," katanya.

Kini, kumpulan muzik ini dianggotai oleh Md Noor Hendrix selaku pemain gitar, Royce Sa'ayan (Vocal), Shaharul Nizam (Bassist) dan Nifael (Drummer).

Menurutnya, Nifael Blues Band pernah menyertai KL Bike Week anjuran Eddie Abu Zahar dan Datuk Dira Abu Zahar lebih dari lapan kali; Art of Speed anjuran Asep Ahmad; Pesta Penang anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, KL Vintage Fest anjuran Pintu Merah; Wheel of Muzik Lumut anjuran Bob Ady; Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu yang disokong oleh Galeri Gitar Ali Mahbob; Back to the Blues dan Otai Goes Campus anjuran Aswara yg disokong oleh pensyarah Isyam Swardi Daud; Jazz Ampang anjuran Datuk Nik Azmi, Tribute To Sang Gendang (Yazit Search) anjuran ZAP production (Zahid Ahmad) dan banyak gig kecil-kecilan Tribute to Jimi Hendrix serata Kuala Lumpur.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya dari Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu turut menjadikan pemain dram Red Hot Chilli Peppers, Chad Smith; Allahyarham Yazit Ahmad; Allahyarham Man Kanan dan Zahid Ahmad sebagai inspirasi dalam perjalanan kerjaya muziknya.

Berkat usaha gigih, Nifael Blues Band sudah mempunyai empat karya lagu masing-masing berjudul Highway Supertar menampilkan Royce Saayan; Bapak Tak Marah menampilkan Asheed Def Gab C dan Kid Search sebagai pemain guitar undangan; 49:12 menampilkan Yantzen Rusty Blade dan Gugun.

Lagu terkini mereka, Mana Maunya Yeop menampilkan Muss May dan Aidit Alfian yang baru sahaja diterbitkan pada 28 Julai lalu.

Lebih bermakna lagi, usaha anak muda kelahiran Sitiawan ini mendapat perhatian kerajaan negeri Perak sehingga terpilih sebagai penerima Dana Kreatif Perak@PORT pada Mac lalu.

"Melalui geran berjumlah RM10,000 itulah saya manfaatkan dengan membiayai khidmat Muss yang menyumbangkan suara serta lagu ciptaannya dalam rakaman lagu Mana Maunya Yeop.

"Melalui pemberian dana itu juga kami dapat membiayai khidmat penghasilan lirik oleh Ad Samad, khidmat guitarist Aidit Alfian dan Md Nor Ndrix, penyewaan studio rakaman A'via Musicom Studio Pandan Indah milik Eddie Def Gab C, mixing dan mastering, khidmat penerbit oleh Eddie Def Gab C dan pembikinan video oleh Pengarah Wamo NSG Enterprise Ahmad Wafiuddin.

"Terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad atas pengiktirafan dan kepedulian kepada penggiat muzik tempatan seperti kami untuk berkarya dan memberi sumbangan kepada masyarakat dengan cara kami sendiri," katanya.

Dana Kreatif Perak@PORT adalah salah satu inisiatif dalam pelan Perak Sejahtera 2030 menerusi program flagship Ekonomi Pengalaman di bawah segmen Semarak Warisan yang diterajui oleh People of Remarkable Talents (PORT), sebuah agensi kebudayaan yang didanai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 7:01 AM