ASHEED menegaskan Def Gab C tidak pernah berpecah.
ASHEED menegaskan Def Gab C tidak pernah berpecah.
Ahmad Rabiul Zulkifli


MESKIPUN kumpulan rock terkenal, Def Gab C, sudah lama menyepi daripada industri muzik tanah air, namun lagu popular nyanyian kumpulan itu seperti Ibu Kota Cinta, Cinta Sakti, Marilah Maria, Merah dan Ampunkan Aku sehingga kini masih menjadi siulan peminatnya.

Kumpulan yang mengetengahkan lagu dan muzik berirama hard rock dengan sentuhan punk, emo, gothic dan pop rock dianggotai Asheed (Vokal) , Jemboo (Gitar), Eddie (Bass) dan Atong (Drum) itu sering ditunggu peminat untuk membuat kemunculan semula.

Bagi vokalisnya, Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad, 47, berkata, kumpulannya tidak pernah berpecah cuma masing-masing membawa haluan sendiri sejak 2014 selepas melancarkan album ke sembilan bertajuk Neolithic pada 2012.

“Album Neolithic memuatkan 10 lagu iaitu enam lagu baru dan empat lagu lama. Bagaimanapun album kesembilan itu tidak mendapat sambutan seperti album sebelumnya termasuk album pertama iaitu Citarasa yang terjual sebanyak 150,000 unit.

“Bagaimanapun, kegagalan album terakhir yang hanya terjual sebanyak 10,000 unit tidak mematahkan semangat kami, cuma masing-masing mengambil masa untuk bertenang seketika dan sentiasa menyimpan hasrat untuk membuat kemunculan semula,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Asheed berkata, dia dan Def Gab C merancang membuat kemunculan semula menerusi lagu tema Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 bertajuk Segalanya Wanita, tetapi mempunyai masalah pada saat akhir sekali gus menyebabkan lagu itu tidak sempat dilancarkan.

“Lagu sudah siap cuma tidak dilancarkan secara rasmi, malah lagu berserta video klipnya dimuat naik di Youtube pada April 2018 dengan hanya 2,500 tontonan sahaja kerana tiada hebahan meluas yang dijalankan di media massa.

“Kami anggap ia bukan rezeki tetapi penangguhan dan kegagalan projek itu menyebabkan kami hilang semangat untuk membuat penampilan semula,” katanya yang kini mempunyai tiga cahaya mata termasuk dua anak berusia tujuh dan tiga tahun hasil perkahwinan barunya bersama Hafiza Ramli, 31, pada Jun 2012.

Tambahnya, dia bersama Kid Search, Mat Nor Hendrik dan Syarul menyiapkan satu single terbaru bertajuk Bapak Tak Marah dan bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat.

“Lirik lagu terbaru itu ditulis sendiri, manakala lagu pula ciptaan Syarul. Semua proses sudah siap dan akan dilancarkan pada waktu yang sesuai dengan harapan mengubat rindu peminat terhadap muzik yang pernah diketengahkan Def Gab C sebelum ini.

“Sekarang selain sibuk di studio rakaman, menjayakan persembahan makan malam, festival dan jemputan eksklusif, saya juga mula berjinak dengan perniagaan produk kesihatan.

“Ramai peminat yang menegur perubahan mengejut saiz badan saya sekarang berbanding pada awal kemunculan dulu, oleh itu saya mengambilnya sebagai kritikan membina untuk berubah dan menurunkan berat badan,” katanya.

Menurutnya, dia juga sedang giat mempromosikan produk kesihatan sendiri untuk menguruskan badan berasaskan buah-buahan berjenama Body Slank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 12:23 PM