KHAI bersemangat mahu menampilkan persembahan terbaik kepada peminatnya. FOTO Rohanis Shukri
KHAI bersemangat mahu menampilkan persembahan terbaik kepada peminatnya. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


KEJAYAAN meraih 33 anugerah antaranya, tiga anugerah Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama enam tahun pembabitan dalam industri seni sudah cukup membuktikan kehebatan Khai Bahar.

Justeru, satu langkah tepat apabila syarikat rakaman Nova Music bertindak menganjurkan konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang akan berlangsung pada 12 Februari ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, jam 9 malam.

Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim berkata, konsert ini diadakan bagi meraikan bulan cinta serta ulang tahun keenam Khai Bahar dalam industri muzik.

"Nova Music dengan bangganyamenganjurkan buat julung kalinya konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang diadakan secara fizikal dan virtual.

"Ia membolehkan bukan saja peminatnya di Lembah Klang untuk saksikan tapi juga peminat seluruh negara malah rantau Asia juga berpeluang menontonnya.

"Kami turut berbangga kerana 300 tiket menonton secara fizikal habis terjual dalam tempoh beberapa jam selepas dilancarkan pada 31 Disember lalu," katanya.

Bagaimanapun, katanya tiket tontonan konsert secara virtual masih boleh dibeli dengan harga RM29.90 sejak 28 Januari sehingga 12 Februari ini.

"Khai akan menyanyikan semua lagu hit terdahulu seperti Bayang, Luluh, Nafas Cinta dan juga hit terbaharu seperti Sengsara yang kini berada dalam Top 10 Carta ERA 40.

"Dengan semua peralatan dan kemudahan serta komitmen padu daripada Khai, kami percaya konsert ini bakal melakar satu lagi sejarah dalam industri seni tanah air," katanya.

Penganjuran konsert Nafas Cinta Khai Bahar disokong oleh MyCreative Ventures, PENJANA dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Rosmin berkata, menerusi sumbangan MyCreative Ventures begitu banyak penggiat-penggiat industri muzik dapat memperolehi pendapatan daripada konsert ini.

"Ia termasuk penyanyi, pemuzik, pengarah muzik, pembekal peralatan bunyi dan lampu, jurukamera, agen jualan tiket dan sebagainya.

"Manakala, stesen radio ERA yang bertindak sebagai radio rasmi, akan meningkatkan lagi keghairahan penonton untuk menonton konsert ini dengan hebahan yang dibuat dan menganjurkan peraduan untuk memenangi tiket konsert secara fizikal dan virtual yang dijual," katanya.

Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pula menjadi hotel rasmi konsert.

Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin mengakui tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya selain bersyukur dan gembira.

"Alhamdulillah, saya tak menjangka tiket boleh habis dengan begitu pantas. Sejujurnya, saya hilang kata-kata apabila dimaklumkan perkara ini.

"Sudah tentu, saya gembira dan teruja kerana ia sesuatu yang cukup membanggakan. Apa saya boleh katakan, peminat yang membeli tiket ini anda memang luar biasa.

"Saya amat berterima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket. Ini adalah tanda sokongan tanpa jemu anda buat saya dan tak pernah berhenti menyokong kerjaya saya dalam semua bidang," katanya.

Menurutnya, sambutan itu menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik selain mengakui, tidak sabar untuk menghiburkan peminat.

"Sebagai penyanyi tentu saja saya mahukan konsert yang bakal dijayakan ini berjaya. Malah, penganjur yang membawakan konsert ini juga pastinya berharap tiket akan terjual.

"Alhamdulillah, dari peringkat awal konsert ini sudah berjaya. Tinggal lagi, kita nak merealisasikan konsert ini saja.

"Biarpun perasaan gementar itu ada dalam diri, saya percaya kehadiran peminat yang sudah membuatkan tiket konsert ini habis terjual menjadi sebab saya tak sabar untuk menghiburkan mereka.

"Saya mahu menjadikan malam konsert ini nanti sebagai satu lagi kenangan terindah dalam kerjaya dan juga buat seluruh peminat yang menonton secara fizikal atau virtual," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MyCreative

Noor Azmi Mat Said berkata, pihaknya merasa bangga kerana menjadi pemangkin untuk pembangunan semula industri hiburan tempatan selepas pandemik Covid-19.

"Kita tahu semasa pandemik industri amat tertekan. Tiada konsert atau aktiviti luar (persembahan) dapat dibuat oleh mana-mana penggiat seni.

"Dengan situasi sebegitu, pihak kerajaan dan kementerian kewangan melihat perlunya bantuan diberikan sebagai cara menghidupkan semula industri. Disitulah, timbulnya dana untuk membantu mereka," katanya.

Menariknya, konsert ini bakal menampilkan dua penyanyi jemputan wanita iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi.

Penyanyi-penyanyi baharu seperti Ahmad Syafiq, Farra Ahmad dan Syeera Aziz turut menjadi artis pembuka tirai konsert.

Tontonan secara virtual konsert ini dibawakan secara langsung oleh CloudTheatre menerusi laman web yang boleh dilayari 30 minit awal sebelum konsert berlangsung.

Peminat boleh menonton konsert terbabit di rumah atau di mana saja mereka berada menerusi gajet masing-masing dengan 1080 definisi tinggi (HD).

Pengendali konsert virtual ini turut menyediakan logo WhatsApp 'Help' jika ada sebarang masalah atau gangguan sepanjang konsert berlangsung.

CloudTheater juga turut menyediakan ruangan komen dan emoji bagi membolehkan penonton secara virtual menulis komen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:14 AM