KEHADIRAN penyampai Suria FM sedikit sebanyak menceriakan mangsa banjir.
KEHADIRAN penyampai Suria FM sedikit sebanyak menceriakan mangsa banjir.
Ridzuan Abdul Rahman


HATI siapa yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan mangsa banjir yang tersebar luas menerusi media massa, media sosial dan Internet.

Wajah sedih mangsa-mangsa yang kehilangan rumah, harta benda dan tinggal sehelai sepinggang turut menyentuh hati barisan penyampai radio Suria FM.

Justeru, sebagai tanda prihatin mereka mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Misi Bantuan Banjir Suria membabitkan seramai lebih 20 kakitangan termasuk semua penyampai radionya iaitu Ajak, Fizi Ali, Suraya, Cik Piah, Tyzo, Sharifah Shahirah dan DJ Lin.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, siri pertama untuk misi bantuan diadakan pada 23 Disember lalu membabitkan tiga lokasi di Pahang iaitu Kampung Bukit Piatu dan Taman Harmoni di Bentong serta Kampung Bukit Dinding di Jerantut.

"Menerusi misi pertama ini, kami berjaya mengagihkan beg bantuan Suria kepada lebih 100 buah rumah di sekitar Bentong serta di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bukit Dinding, Jerantut.

"Kami sangat terharu kerana kebanyakan penduduk di lokasi yang terbabit adalah pendengar Suria FM. Biarpun sedang bersedih, mereka kelihatan sangat teruja apabila menerima kunjungan Penyampai Suria FM.

"Ramai yang turut bergambar dan tak kurang juga kelihatan mengalirkan air mata melihat kedatangan kami ke rumah mereka," katanya.

DJ Lin bersyukur kerana urusan dalam misi pertama ini dipermudahkan Allah sekali gus menyaksikan ia berjalan lancar.

"Alhamdulillah. Allah permudahkan bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di kawasan yang kami kunjungi. Insya-Allah, misi ini akan kami teruskan ke lokasi yang lain pula termasuk di Lembah Klang yang turut terjejas teruk.

BARISAN penyampai Suria FM bersama mangsa-mangsa banjir.
BARISAN penyampai Suria FM bersama mangsa-mangsa banjir.

"Kami amat memerlukan dan mengalu-alukan penyertaan daripada syarikat korporat atau rakan-rakan penaja untuk turut sama bekerjasama dengan pihak Suria FM dalam menganjurkan misi seumpama ini.

"Mungkin dengan penyertaan daripada mereka, skala bantuan yang sedia ada dapat diperbesarkan dan boleh membantu lebih ramai mangsa banjir yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 6:30 AM