Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengatur gerak dua Helikopter EC725 AP dari No 10 Skuadron bagi menghantar bekalan makanan dan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar daerah Temerloh, Pahang.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 6.6 tan bekalan makanan dan keperluan asas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibawa ke dua penempatan di SMK Seberang Temerloh dan Kem Batu 3 untuk diagihkan ke kawasan terjejas.

"Selain itu, TUDM turut melaksanakan penghantaran lima enjin bot 40 kuasa kuda bagi kegunaan Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bagi melaksanakan operasi penghantaran bekalan makanan ke kawasan-kawasan terjejas menggunakan bot.

"Operasi diketuai Mejar Mohd Asrul Junid bermula pada jam 9.10 pagi dan selesai sepenuhnya pada jam 6.15 petang," katanya.

Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro

Menurutnya, seramai 18 anak kapal terbabit bagi menjayakan misi penghantaran makanan.

"Keadaan semasa banjir di sekitar kawasan daerah Temerloh yang masih belum surut menyebabkan banyak laluan ke kawasan penempatan terjejas masih tidak dapat dilalui oleh kenderaan darat untuk melaksanakan penghantaran bantuan ke penempatan terjejas.

"Justeru, sebanyak lapan sortie dilaksanakan oleh No 10 Skuadron untuk membawa lebih kurang 6.6 tan bekalan makanan dan keperluan asas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 9:02 PM