PERALATAN sistem bunyi milik Rabbani yang ditenggelami air.
PERALATAN sistem bunyi milik Rabbani yang ditenggelami air.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Kita dah diajar berlapang dada untuk reda. Itu semua pelajaran yang luarbiasa. Itulah yang kita kena tempuh," demikian kata ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz.

Ia berikutan peralatan sistem bunyi dan pencahayaan (lighting) milik mereka yang ditempatkan di Pusat Latihan Darul Adnin, Meru, Selangor rosak ditenggelami banjir sejak semalam.

Azadan yang dihubungi berkata, peralatan ini dipindahkan dari pejabat lama mereka di Bandar Sri Menjalara, Kepong ke lokasi terbabit sejak lima tahun lalu sebagai cara penjimatan kos.

 "Sebahagian besar barang-barang ditempatkan di sini (Meru), manakala selebihnya di bawa ke Rawang. Keputusan berpindah dibuat memandangkan keadaan ekonomi yang kurang bagus ditambah dengan Covid-19 lagi.

"Namun, tak sangka pula berlaku banjir besar macam ini. Ia memang tak pernah terjadi sebelum ini. Banyak juga peralatan yang rosak.

"Saya pun tak pasti secara lengkap kerana tak dapat masuk lagi ke kawasan itu. Mengikut individu yang menjaga tempat berkenaan, 80 peratus peralatan ini dah tak dapat digunakan. Saya juga risaukan dokumen yang semuanya ada di situ pasti rosak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Rabbani baharu saja bercadang untuk mengorak langkah aktif semula dalam pengurusan acara dan persembahan, namun berdepan ujian ini pula.

"Saya pun sebelum ini ajak anggota lain untuk tengok barang apa yang boleh dibawa ke Rawang untuk diletakkan di tingkat atas restoran saya. 

"Tapi itulah, memang tak sempat kerana benda dah berlaku. Pusat Latihan Darul Adnin memang anjurkan program motivasi dan menempatkan anak-anak asnaf. 

"Kebetulan semasa banjir pengusahanya ada di luar. Kami pun jauh dari situ. Tak dapat nak datang. Semalam, tak boleh pergi. Apapun, saya akan cuba juga pergi meninjau keadaan disana sekiranya dah boleh," katanya.

 Mengulas lanjut kejadian banjir itu, Azadan berkata apa yang berlaku pasti mengandungi hikmah tersendiri. 

"Kalau benda itu Allah nak beri kebaikan buat orang lain untuk kami laksanakan, pasti Allah akan bagi yang lebih baik.

"Kadangkala apabila jadi macam ini, kami fikirkan orang yang lebih susah dari kami. Yang penting dalam keadaan sekarang ialah nyawa.

"Bila saya lihat mereka yang lebih susah, yang tua dan kanak-kanak terpaksa panjat bumbung, kami tak rasa apa yang kami lalui ini satu beban. Ia hanya bersifat sementara saja. Mereka inilah yang lebih perlu diberi perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 7:15 PM