Sebahagian anggota Rabbani menziarah Nazrul
Sebahagian anggota Rabbani menziarah Nazrul
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Sebagai sahabat dan bekas anggota kumpulan Rabbani nasib Nazrul yang menghidap penyakit buah pinggang sentiasa mendapat perhatian rakan-rakan serta anggota nasyid itu.

Azadan yang mewakili Rabbani berkata pihaknya tetap mengagihkan hasil persembahan mereka kepada Nazrul walaupun tidak lagi bersama mereka.

Malah Azadan bersama beberapa anggota Rabbani menziarahi Nazrul pada minggu lalu, yang menghidap penyakit itu sejak lapan tahun lalu.

"Dia memang dah tujuh ke lapan tahun tak bersama kami, tapi setiap kali ada persembahan, hasil daripada persembahan itu memang kami akan bahagikan.

"Walaupun dengan keadaan kesihatan dia sekarang yang tak mengizinkan, sebahagian daripada rezeki itu kami bahagikan lapan orang. Begitu juga dengan pembahagian royalti," katanya kepada Harian Metro.

Gambar Nazrul dari Facebook anggota Rabbani, Zul
Gambar Nazrul dari Facebook anggota Rabbani, Zul

Tambah Azadan, Nazrul yang kini dijaga oleh isterinya dirawat di rumah memandangkan penglihatannya semakin kabur di samping tangan yang semakin membengkak.

"Kalau dahulu, dalam empat ke lima tahun sebelum ini dia kerap keluar masuk hospital. Sekarang, kalau dia masuk hospital pun disebabkan komplikasi.

"Dia dijaga isterinya, yang juga bertugas sebagai guru Kafa selain menerima sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor. Dia boleh bergerak, cumanya matanya tak berapa jelas dah dan tangannya pun bengkak-bengkak," kata Azadan ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Munsyid Malaysia 2024 yang berlangsung di Sri Damansara di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:13 PM