Syafil Syazwan Jefri


NAMA Siti Nordiana kini begitu sinonim dengan lagu berentak balada yang kerap kali memanjat carta muzik tanah air, sekali gus 'mencabut' label yang diberikan kepadanya sebagai penyanyi lagu 'leman'.

Selain itu, dia yang mesra disapa dengan Nana itu juga dikenali sebagai penyanyi yang mampu melantunkan lagu tradisional dengan baik.

Kini, Nana membawa peminatnya untuk meneroka kemampuannya sekali gus membuka sisi berbeza Nana menerusi single baharu berjudul Amaran.

Tidak bersendirian, kali ini Nana menampilkan penyanyi rap wanita yang sedang meningkat naik, Bunga Isme.

"Saya yang 'melamar' Bunga untuk turut serta dalam karya kali ini sebab saya sendiri mengagumi kemampuannya. Ini kali pertama saya bekerjasama dengannya dan menjadi pengalaman baharu buat saya," katanya.

Menurut Nana, lagu ini mencabar kemampuannya memandangkan ia mempertaruhkan genre yang luar daripada kebiasaan.

"Kali pertama saya mendengar lagu ini kira-kira setahun lalu, saya tak fikir panjang dan terus jatuh cinta. Bagi saya, rentak EDM yang disuntik elemen Nusantara itu memberi kelainan untuk saya.

"Ini adalah kali pertama saya menyanyikan lagu berentak begini. Namun, ia tidak menjadi terlalu asing memandangkan ada elemen tradisional di situ," katanya.

Bagi Bunga pula, ini adalah peluang yang tidak mungkin dilepaskannya.

"Ini peluang yang baik dan ketika saya 'dilamar' oleh Kak Nana, saya rasa tak patut untuk lepaskan. Apabila diberi peluang, saya sebagai orang baharu perlu melakukan yang terbaik kerana sudah diberikan kepercayaan," katanya.

Turut terbabit sebagai penulis lirik, Bunga berkata, itu berdasarkan penelitiannya terhadap persekitaran.

"Jalan cerita saya tulis adalah fiksyen, namun saya melihat kepada persekitaran saya dan ada juga kenalan yang menjadi inspirasi buat saya," katanya.

Amaran adalah satu karya berunsur nasihat dan tentunya akan menjadi karya dendangan ramai peminat kedua-dua bintang ini.

Selain Bunga, lirik lagu ini juga ditulis Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat yang kedua-duanya bertindak sebagai komposer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:35 AM