NANA Sheme ‘berjuang’ menerusi lagu Aku Mencoba.
NANA Sheme ‘berjuang’ menerusi lagu Aku Mencoba.
Syafil Syazwan Jefri


"PENGHASILAN lagu ini juga adalah secara spontan. Satu malam, suami saya memetik gitar dan saya selitkan lirik secara spontan, menyalut melodi yang dimainkan," kata penyanyi asal Sarawak, Nana Sheme membuka cerita di sebalik penghasilan lagu terbarunya berjudul Aku Mencoba.

Saat mendengarkan lagu ciptaan Nana ini, jelas kedengaran rasa empati yang dituangkan ke dalam bentuk melodi indah dengan susunan lirik penuh puitis.

Ditanya mengenai idea di sebalik penghasilan Aku Mencoba, Nana terbuka untuk berkongsi mengenai perjuangan kehidupan rumah tangga bersama suami, Zikri Zakaria yang mana tidak semudah disangka.

"Boleh saya kongsikan, perjalanan rumah tangga kami yang kini sudah melangkah masuk ke tahun kedua bukanlah mudah. Biasalah, sebagai pasangan yang baru berkahwin, ada naik dan turunnya terutamanya dari segi emosi.

"Ada ketikanya, berlaku salah faham dan selalunya saya yang lebih-lebih. Satu detik, saya terfikir, kenapa saya buat begitu kepada suami sedangkan dia juga berjuang untuk dirinya dan untuk kami berdua.

"Ketika saya menulis lagu ini, dia sendiri pun tak tahu. Saya tulis mengenai apa yang saya rasa andai kata saya berada di tempat dia.

"Jadi, lagu ini umpama satu perspektif dia yang saya gambarkan. Bila didengar semula, ia kena pula dengan perjalanan karier seni saya yang mana saya berjuang dalam industri muzik," katanya.

Mengusung tema perjuangan dalam kehidupan, Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi berkata, dia ingin wujudkan karya yang mampu menyentuh hati setiap yang mendengarkan dendangannya.

"Aku Mencoba adalah mengenai realiti kehidupan. Semua orang ada perjuangan masing-masing. Saya tak mahu lagu ini bercerita mengenai diri saya semata-mata. Saya nak mereka dengar dan dapat rasa, bahawa ia terkait dengan diri serta kehidupan mereka.

"Aku Mencoba berkisar mengenai perjuangan kita semua menjalani kehidupan atau apa juga perjalanan yang sukar, namun, kita memilih untuk terus berjuang.

"Penggambaran video muzik Aku Mencoba dijalankan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang. Yang paling meninggalkan kesan kepada saya adalah lokasi pilihan saya sendiri di Dataran Merdeka.

"Sebenarnya, Dataran Merdeka punya nilai sentimental buat diri saya secara peribadi. Ia adalah lokasi penggambaran video muzik Hantu Atau Buaya," katanya.

Berbeza berbanding karya popularnya, Hantu Atau Buaya, Nana mengakui bahawa ini adalah hala tuju muziknya yang sebenar.

"Dah lama saya tak keluarkan lagu. Rasanya, dah hampir empat tahun. Single yang saya keluarkan kali terakhir pun, sambutannya tidaklah seperti mana sambutan yang saya terima saat Hantu Atau Buaya dikeluarkan.

"Ini adalah hala tuju muzik saya sekarang. Sebelum ini, ramai fikir muzik saya bercorak 'catchy'. Itu sesuai dengan usia pada waktu itu. Kini, saya nak tonjolkan sisi matang saya. Ini kali kedua saya berpeluang hasilkan lagu sendiri selain lagu Aidilfitri.

"Saya dah terima beberapa komen daripada peminat yang rindukan karya-karya seperti Hantu Atau Buaya. Tapi, dah lapan tahun saya membesar dengan lagu itu. Jadi, sekarang adalah masanya untuk saya cuba sesuatu yang berbeza dan dekat di hati saya.

"Tapi, saya tak menolak sekiranya di masa akan datang, saya tulis satu karya bercorak seperti lagu Hantu Atau Buaya. Saya tak nafikan, setiap kali membuat persembahan pentas, saya akan persembahkan lagu itu kerana memang menyeronokkan," katanya.

Menurut penyanyi berusia 28 tahun ini, Hantu Atau Buaya ada aura dan tenaga yang tersendiri.

"Pendengar dan peminat pun masih mahu saya persembahkan lagu itu. Saya anggap ia rezeki juga. Kalau orang nak labelkannya sebagai lagu 'one hit wonder', saya terima dengan hati terbuka.

"Apa yang boleh saya katakan, setiap kali berpanggung dan persembahkan lagu itu, umpama ada satu 'tenaga' yang dilontarkan semula kepada saya, yang mana berbeza dengan perasaan saat saya mempersembahkan lagu lain," katanya.

Yang pasti, Nana enggan berpaling ke belakang, sekali gus ingin mengorak langkah lebih lincah kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 6:30 AM