ZARA dan Ippo dalam video muzik Seadanya Aku.
ZARA dan Ippo dalam video muzik Seadanya Aku.
Syafil Syazwan Jefri

KARYA terbaru komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz baru-baru ini dilancarkan, sekali gus mencuri perhatian ramai terutama pengikut dan penonton setia drama bersiri Seadanya Aku.

Menjadi lagu tema untuk drama bukan satu perkara baru buat nama Ippo Hafiz kerana dia sendiri boleh digelar sebagai ‘Raja OST’ memandangkan banyak karya ciptaannya diangkat sebagai lagu tema.

Seperti karya terdahulu, Seadanya Aku juga berkisar mengenai penterjemahan jalan cerita daripada drama kepada sebuah lagu berentak pop balada.

Dari segi susunan muzik, identiti muzik Ippo masih dikekalkan dalam Seadanya Aku. Pertama kali didengar, terdapat beberapa pengaruh muzik dari Indonesia yang dimasukkan Ippo dalam lagu ini.

Lebih menarik, video muzik Seadanya Aku menampilkan bintang utama drama bersiri itu iaitu Zara Zya sebagai pelakon video muzik.

Mengambil beberapa lokasi di Kota Melaka sebagai latar tempat, dapat dilihat apa yang ingin disampaikan Ippo iaitu kebahagiaan daripada karakter Aufiya lakonan Zara.

Menerusi lagu ini, karakter Ippo umpama menjadi penyeri yang ingin membawa Aufiya menuju jalan yang lebih bahagia, sekali gus melupakan masa silamnya.

Di YouTube, video muzik Seadanya Aku dilancarkan sejak 20 Januari lalu dan sehingga kini mencatat lebih 480,000 tontonan.

• PENYANYI: Ippo Hafiz

• KOMPOSER: Ippo Hafiz

• LIRIK: Fedtri Yahya & Ippo Hafiz

• TERBITAN & EDARANT: MVM Music

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:20 AM