RIENA Diana
RIENA Diana
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Riena Diana menjelaskan 'benjolan' yang timbul pada bahagian dadanya adalah bentuk jahitan baju dan bukan menonjolkan bahagian tubuh seperti didakwa segelintir pihak.

'Benjolan' itu 'timbul' pada pakaian digayakannya ketika hadir ke acara Anugerah Bintang Popular BH ke 34 (ABPBH34) Sabtu lalu yang menimbulkan pertelagahan dalam kalangan netizen di media sosial.

"Pada mulanya, saya menerima mesej daripada peminat berhubung pakaian itu. Tegurannya juga berhemah, malah dihantar secara peribadi untuk menasihati saya.

"Namun, lama-kelamaan menjadi tular di media sosial dan menjadi bahan pergaduhan dalam kalangan netizen. Ada yang membela saya dan ada juga yang menegur kerana berpakaian tidak senonoh ketika acara anugerah secara langsung.

"Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak dipanjangkan lagi. Mungkin ada yang melihatnya sebagai tidak senonoh, tetapi sebenarnya adalah bentuk 'dart' pakaian itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Riena, pada mulanya dia hanya menutup sebelah mata mengenai isu berkenaan, namun ia menjadi besar sehingga membuatkan beberapa pihak bergaduh di ruangan komen.

"Minta maaf andai kata ada yang terasa hati atau tersinggung dengan gaya pemakaian pada malam itu. Saya akan mengambil langkah berhati-hati pada masa hadapan supaya tidak menimbulkan salah faham lagi.

"Saya juga berharap salah faham ini dapat ditamatkan di sini dan tidak menjadi punca perbalahan di kalangan peminat dan netizen," katanya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi watak Lailer dalam drama bersiri Kampung People itu menggayakan pakaian jenama Official Yuleza pada malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:00 AM