LEBIH fokus dengan satu tawaran dan tidak mahu terkejar-kejar kerana penat.
LEBIH fokus dengan satu tawaran dan tidak mahu terkejar-kejar kerana penat.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebagai anak seni, Nur Qamarina Diana Zulreal, 26, atau lebih dikenali sebagai Riena Diana mahu membuktikan kemampuannya membawakan pelbagai watak.

Apatah lagi selepas lebih enam tahun terbabit mewarnai dunia hiburan tanah air, Riena membuktikan bakat hebatnya dengan pelbagai naskhah menarik.

Lebih ketara ketika kejayaan membawa karakter 'bimbo' sebagai Lailer menerusi drama Kampung People membawa wanita jelita ini makin sohor.

Bagaimanapun, Riena menjelaskan, dia sudah lama ingin 'move on' daripada dibayangi nama ini.

"Saya nak orang panggil saya dengan watak lain yang boleh beri impak. Memang saya nak lari dari Lailer. Sebagai pelakon kita tak nak orang ingat kita dengan satu karakter sahaja.

"Kalau boleh saya nak setiap watak saya bawa itu berjaya. Cuma mungkin watak lain tak berapa sesuai dengan saya dan orang masih panggil saya Lailer," katanya.

Riena kini muncul menerusi drama bersiri Boleh Saya Bantu? yang kini ditayangkan menerusi slot Lestary TV3.

Katanya, segelintir peminat mula memanggilnya dengan nama Farida, wataknya dalam drama ini.

RIENA mahu peminat mengenalinya dengan pelbagai watak dan bukan komedi sahaja.
RIENA mahu peminat mengenalinya dengan pelbagai watak dan bukan komedi sahaja.

"Farida seorang pengurus hotel dan punyai impian nak kahwin dengan orang kaya. Ia sebuah genre romantik komedi. Cinta itu ada, tapi fokus ceritanya lebih kepada isu semasa dan politik kerja

"Drama ini ada kelainan kerana pengarahnya, Shuhaimi Lua Abdullah sukakan 'vibe' Korea yang disuntik dalam drama ini. Saya dah biasa bawa watak komedi.

"Tapi, Farida agak lain sikit kerana seorang yang pemarah, selalu marah-marah. Saya biasanya selalu bawa watak periang," katanya.

Bagi Riena, agak susah melakonkan watak wanita yang pemarah dan 'moody' setiap masa, namun dalam masa sama kena menyuntik juga elemen komedi.

"Andi Bernadee turut berlakon dan dia banyak membantu. Andi kelakar dan membantu naikkan 'vibe' komedi spontan cerita ini. Ini kali pertama kami kenal dan bekerjasama.

"Hari pertama 'shooting' kami terus jadi geng. Karakter dia pun dapat buat saya rasa selesa. Baru-baru ini saya 'shooting' drama di Pagoh dan agak mengejutkan apabila peminat menyapa saya dengan nama Farida.

"Ternyata ada yang menonton Boleh Saya Bantu? Mereka juga tanya mana Nasa (Andi). Rasa lega kerana saya dah berjaya lari dari bayangan Lailer," katanya.

Riena sebenarnya sudah membintangi drama lain antaranya Hello Jodoh, Gadis Dan Angan-Angan sebagai watak utama, tetapi semuanya belum disiarkan di kaca TV.

RIENA (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon drama bersiri Boleh Saya Bantu?
RIENA (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon drama bersiri Boleh Saya Bantu?

"Saya sekarang 'shooting' drama bersiri 35 episod Wanita Syurga untuk slot Akasia yang akan ditayangkan seminggu sebelum puasa.

"Watak berbeza sepenuhnya dari watak yang saya pernah bawa sebelum ini. Saya bawa watak antagonis dan serius. Ia drama berat.

"Sebelum Kampung People saya pernah bawa watak begini, tapi mungkin tak melekat di hati penonton. Selepas watak Lailer ini perubahan yang agak besar dan berat serta antagonis yang tak pernah saya bawa," katanya.

Drama arahan Riza Baharuddin ini kali pertama menggandingkannya dengan Redza Rosli.

"Agak 'struggle' sikit awalnya, tapi pengarah Riza Baharuddin dan Redza banyak bantu. 'Shooting' masih berjalan, namun saya tak rasa penat. Setakat ini rasa seronok mungkin kerana cara kerja pengarah.

"Baik Shuhaimi Lua mahupun Riza masing-masing ada cara sendiri dalam pengarahan. Jadi, kita rasa bukan macam datang kerja sangat. Saya tak tertekan dan tak rasa penat.

"Saya juga fokus terima satu tawaran pada satu masa dan tak nak terkejar-kejar macam saya jadi penyampai radio dulu kerana penat. Sekarang saya cuma mengacara program MBuzz TV3 seminggu sekali," katanya.

Riena bersyukur enam tahun bergelar pelakon, dia kali pertama berpeluang berlakon dalam slot Akasia yang memerlukannya berlakon watak serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 7:00 AM