Juri tetap, Riena Diana ketika sidang media I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 di Rom8 Studio, Sunway Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Juri tetap, Riena Diana ketika sidang media I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 di Rom8 Studio, Sunway Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, Riena Diana, 27, menerima baik komen netizen yang menyifatkan teman istimewanya yang juga pelakon, Keith Foo sebagai 'Jekfer' yang menjadi impian Lailer selama ini seperti mana dalam drama Kampung People.

Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal berkata, ia mungkin kebetulan saja dan tidak dinafikan kebanyakan netizen memang menulis komen mengaitkan Keith adalah 'Jekfer' selepas mereka berkongsi kisah hubungan rapat.

"Kebetulan saja, tapi harap-harap dia (Keith) adalah 'Jekfer' untuk Riena. Sebab, ramai juga Riena tengok netizen tulis-tulis (komen) pasal 'Jekfer'. Keith macam Hun Haqeem ke?

"Dia (Keith) lain sikitlah kot, perwatakan dia. Hun kelakar dan Keith pun sebenarnya kelakarlah, kalau anda kenal dia (Keith) lebih rapat. Dia memang seorang yang kelakar, lebih kurang macam Riena tapi versi lelaki," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga kriteria lelaki yang mahu menambat hatinya perlu kelakar, Riena berkata, tidak semestinya, namun perwatakan diri Keith memang disenangi kerana mereka mempunyai banyak persamaan.

"Nak tawan hati, tak semestinya kena kelakar. Cuma, mungkin ketika itu 'chemistry' (keserasian) kami lama-lama, eh awak kelakarlah. Kita macam banyak persamaan.

"Saya pun tak nak cerita lebih-lebih sebab kita pun nak hormat kedua-dua belah keluarga terutama keluarga saya juga," katanya.

Riena dan Keith difahamkan menjalin hubungan rapat lebih sebulan lalu apabila mereka terbabit penggambaran drama Salju Rindu untuk slot Akasia TV3 sebagai watak utama.

Riena bagaimanapun sebelum ini pernah mendedahkan hubungan cintanya dengan kekasih dikenali, Nik Afiq sudah berakhir pada penghujung tahun lalu walaupun ada perancangan ke fasa berumah tangga.

Manakala, Keith ketika ini berstatus duda anak satu selepas rumah tangga dibinanya bersama Kim Raymond pada November 2015 berakhir dengan perceraian pada hujung 2019.

Mereka dikurniakan anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:00 PM