RIENA bersyukur dengan rezeki Allah kepadanya.
RIENA bersyukur dengan rezeki Allah kepadanya.
Zaara Talita


ENGGAN terus dibayangi dengan nama Lailer menerusi drama Kampung People yang melonjakkan namanya, pelakon Riena Diana mengambil pendekatan memotong rambut pendek di paras bahu.

Riena tidak menafikan sehingga hari ini peminat masih memanggil dirinya sebagai Lailer, biarpun drama Kampung People itu sudah lama menamatkan siarannya.

Menurut Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 25, dia berharap dapat 'move on' daripada watak berkenaan supaya peminat dapat melihat pelbagai lagi karakter lain yang mampu dijiwainya selain daripada watak komedi.

"Saya nekad memotong rambut pendek di paras bahu sehingga membuatkan nenek saya menjerit terkejut melihat perubahan imej ini. Saya tidak mahu dibayangi watak Lailer lagi dan bukan hanya boleh melakonkan watak 'bimbo'.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan memotong rambut kerana bersesuaian dengan karakter baharu yang bakal saya jayakan tidak lama lagi. Memang ada yang takut potong rambut, tetapi bagi saya itu bukan isu besar.

RIENA tampil imej rambut pendek atas kerelaan sendiri.
RIENA tampil imej rambut pendek atas kerelaan sendiri.

"Tiada siapa yang minta saya potong rambut dan menukar penampilan, sebaliknya itu adalah inisiatif daripada pihak saya sendiri," katanya.

Jelas Riena lagi, bakat dalam bidang lakonan dimilikinya perlu terus diasah supaya peminat tidak lupa pembabitannya sebagai pelakon.

Dianugerahkan serba-serbi bakat yang dikurniakan Allah, tidak hairan figura ini dibanjiri dengan pelbagai tawaran bukan setakat berlakon, tetapi turut menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio di Hot FM.

"Saya tidak mahu mengeluh atau sebagainya kerana bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Cuma apabila menggalas tugas sebagai penyampai radio, jadual kerja menjadi lebih padat.

"Syukur kerana pengarah dan penerbit drama Cinta Amnesia yang kini bersiaran memahami jadual kerja saya. Awal pagi saya ke set penggambaran, tengah hari pula ke konti untuk bertugas. Begitu rutin saya selama lebih dua bulan ini.

LAKONAN adalah minat paling utama Riena.
LAKONAN adalah minat paling utama Riena.

"Pengorbanan itu berbaloi apabila peminat mula menyedari kehadiran saya sebagai pelakon. Bukan apa, ibaratnya ramai yang sudah terlupa saya memulakan pembabitan sebagai pelakon dulu," katanya.

Riena menjelaskan, dia juga enggan memberi beban kepada pihak produksi dengan memaklumkan komitmen kerjanya sebagai penyampai radio.

Apa pun, dia amat bersyukur kerana masih ada produksi yang sedia bertolak ansur dengan kepadatan jadualnya.

Riena memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio Hot FM pada awal Februari lalu sehingga kini.

Selepas mencuba pelbagai cadang dalam bidang seni, Riena mengakui kerjaya lakonan adalah minat paling utama dan yang digemarinya.

Riena berkata, lakonan mempunyai satu kepuasan yang sangat maksimum dan amat merindui untuk kembali aktif berlakon.

RIENA berambut pendek di paras bahu sesuai dengan karakter baharu yang bakal dijayakan.
RIENA berambut pendek di paras bahu sesuai dengan karakter baharu yang bakal dijayakan.

"Selepas diberi peluang untuk menjadi penyampai radio dan pengacara, saya baru nampak yang minat utama adalah berlakon. Kerjaya lakonan sangat sebati dengan hidup saya dan cukup merinduinya.

"Saya rasa puas setiap kali dapat peranan baharu dan mesti nak cuba buat yang terbaik. Tak dinafikan saya ada dapat peluang untuk menyanyi, tapi saya tolak sebab sedar diri dan tidak mahu memalukan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 6:20 AM