KREATIVITI penting untuk negara.
KREATIVITI penting untuk negara.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my

Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai antara segmen yang ditumpukan.

Seperti biasa, segmen ICT menerima sejumlah peruntukan meliputi pel­bagai aspek daripada nilai keseluruhan Bajet 2015 sebanyak RM273.9 bilion, peningkatan RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014.

Sebanyak RM223.4 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion lagi sebagai perbelanjaan pembangunan.

Antara peruntukan berkaitan teknologi yang disebut Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2015, baru-baru ini termasuk:

Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise (RISE) dengan peruntukan RM10 juta untuk menggalakkan syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, ICT dan industri berasaskan pengetahuan.

Kerajaan memperuntukkan RM200 juta kepada MyCreative Ventures pada 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak RM100 juta.

Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di kawasan ekonomi berimpak tinggi diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak RM2.7 bilion dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun membabitkan pembinaan 1,000 menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut.

Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya:

Menyasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersialkan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Menyediakan dana penyelidikan seba­nyak RM290 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D yang berimpak tinggi.

Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME Technology Penetration, Upgrading Program dan Technology Auditing akan dilaksanakan.

Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan RM50 juta.

Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan RM50 juta.

Talent Corp akan menyediakan RM30 juta bagi program Industry Academia Collaboration di mana, universiti, entiti kerajaan dan industri be­kerjasama membangunkan kurikul­um program keusahawanan serta latihan industri.

Kerajaan berhasrat untuk men­jadikan Malaysia se­bagai lokasi tumpuan bagi syarikat pemula atau start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penu­bu­han MaGIC bagi mewujud­ kan ekosistem yang lebih kondusif untuk memudah cara syarikat start-up memulakan perniagaan. Justeru, bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat start-up beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar syarikat start-up di­tetapkan sebanyak RM75,000. Usahawan ekspatriat start-up yang layak akan diberi Startup Work Pass untuk tempoh satu tahun.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Dana Industri Kandungan Digital di bawah SKMM sebanyak RM100 juta lanjutan daripada peruntukkan RM200 juta kepada MyCreative Ventures (MyCreative) pada tahun 2012.

MyCreative Ventures adalah sebuah syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan April 2012 lalu bagi memba­ngunkan industri kreatif.

Sudah pasti, industri kreatif seharusnya diberi tumpuan memandangkan menyumbang 1.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Setakat ini, 15 penerima bantuan modal dalam bentuk pinjaman mudah yang diuruskan oleh MyCreative yang mana kumpulan penerima pertama menerima dana RM21 juta awal tahun ini membolehkan syarikat terbabit mengembangkan kegiatan seni kreatif masing-masing ke tahap lebih tinggi.

Manakala fasa pengagihan seterusnya pula dijangka dibuat pada akhir tahun ini namun ia mungkin terhad kerana mengikut pemerhatian terdapat kekangan yang perlu dihadapi syarikat kreatif.

Bukan syok sendiri

Biasanya, kekangan yang berlaku itu adalah disebabkan syarikat tempatan tidak mempunyai rekod baik untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank bagi memperluaskan kegiatan masing-masing.

Inilah yang harus menjadi fokus kepada MyCreative bagi memastikan kreativiti tempatan tidak dikekang hanya kerana kurangnya pengetahuan dalam menguruskan perniagaan.

Manakala bagi rakyat negara ini yang sememangnya kreatif, anda perlu melihat realiti bersandarkan kepada model perniagaan berdaya maju serta realistik dan bukannya syok sendiri.

MyCreative seharusnya menjadi suntikan yang kuat kepada perkembangan industri kreatif negara terutama dalam seni visual seperti seni lukis dan gubahan bentuk, seni persembahan (teater dan tarian), muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif (animasi dan perfileman), seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional (kraftangan dan batik).

Perkataan syarikat pemula atau startup makin kerap didengar namun mungkin kurang mengerti makna perkataan terbabit.

Perkataan start-up secara kasarnya bermakna anda baru saja memulakan syarikat dan mencari pelabur untuk meneruskan operasi berdasarkan idea asli yang diilhamkan.

Start-up mula diungkap­kan syarikat teknologi yang baru saja bertapak namun disebabkan ramai dalam kalangan mereka berjaya, maka perkataan start-up menjadi popular. Misalnya, Facebook, Instagram dan WhatsApp yang kesemuanya bermula sebagai start-up.

Terjemah imaginasi

Pelbagai kajian menunjukkan manusia mempunyai daya kreativiti dan imaginasi tersendiri yang mampu diterjemahkan ke dunia nyata.

Konsep terbabit mampu menjadikan anda berkecimpung terutama dalam bidang teknologi yang memerlukan idea baru bagi keperluan kehidupan.

Jika anda mempunyai idea bersesuaian, teruskan lang­kah merealisasikannya dalam bentuk aplikasi yang kini meluas memandangkan peng­gunaan telefon pintar bukan lagi keperluan asing dalam kehidupan.

Semua individu mempu­nyai keupayaan dengan idea bernas terutama penduduk Malaysia yang mampu ditransformasikan ke pering­kat lebih jauh.

Apa yang diperlukan hanyalah tumpuan dan sokongan selain mampu berdikari.

Setiap kali idea itu datang, terjemahkannya ke pering­kat lebih tinggi dan jangan sekali-kali mengalah jika gagal pada peringkat awal.

Golongan muda antara yang perlu memandang serius Bajet 2015 berkaitan syarikat pemula sekiranya mempunyai idea baik untuk menghasilkan produk sendiri.

Kebanyakan syarikat pemula yang membangunkan idea kreatif seperti aplikasi sekarang berdepan masalah untuk mengkomersialkan produk mereka kerana tidak diberi pendedahan sewajarnya berkaitan kehendak pasaran.

Ideanya mungkin baik tetapi ia perlu diperluaskan supaya bertahan lama dan bukannya cukup makan setahun dua.

Golongan muda perlu diberi fokus kerana kita mahu bantu lepasan universiti atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Ini kerana golongan ini yang akan memacu pembangunan ekonomi Malaysia pada masa depan.

Banyak idea

Golongan muda mempunyai idea yang boleh dimajukan jika diberi peluang dan bimbingan sepatutnya.

Bagaimana agensi dapat membantu golongan usahawan teknologi muda ini untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka?

Kebanyakan agensi ditubuhkan bagi membantu semua jenis usahawan berkaitan teknologi atau bidang lain.

Mereka akan mengumpulkan semua jenis usahawan dan mereka yang berminat dalam bidang tek­nologi dan menyediakan latihan serta bimbingan kepada mereka seperti diperuntukkan dalam bajet setiap tahun.

Antara program yang akan ditawarkan adalah jalinan kerjasama, mentor dan padanan perniagaan.

Golongan muda mempunyai banyak idea tetapi kurang pengalaman dan banyak yang kita dengar tetapi malang ada antara idea akhirnya dibeli oleh syarikat besar dari luar negara.

Malaysia perlu melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang kreativiti dan inovasi. Ia bukan saja meningkatkan pendapatan mereka, bahkan mengharumkan nama negara.

Kesemuanya mampu dilaksanakan namun golongan mudah harus melepasi satu halangan iaitu pemikiran mereka sendiri.

Tahap kecekalan dan berdaya tahan jika mahu menjadi usahawan berjaya serta tidak hanya hangat-hangat tahi ayam di separuh jalan.

Sementara itu, dari aspek prasarana, pembangunan lebih banyak pencawang telekomunikasi dan pemasangan HSBB di kawasan bandar sememang langkah baik.

Tetapi kawasan luar bandar juga harus disediakan dengan kemudahan asas HSBB dan pencawang telekomunikasi yang berkelajuan sekurang-kurangnya 3G bagi memasikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pantas dunia maklumat kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:01 AM