BAJET 2022  mengutamakan ekonomi yang makmur dan mampan, keutamaan   untuk menyokong pemulihan ekonomi yang kukuh.
BAJET 2022 mengutamakan ekonomi yang makmur dan mampan, keutamaan untuk menyokong pemulihan ekonomi yang kukuh.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bajet 2022 mencerminkan usaha kerajaan untuk mengekalkan pendirian dasar fiskal yang mengembang bagi menyediakan sokongan yang mencukupi bagi menggalakkan pemulihan ekonomi yang mampan dan jangka panjang, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyokong dan melindungi mereka yang memerlukan, memacu pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan juga pekerjaan serta pemulihan pendapatan.

"Kami akan melakukan ini dengan menyediakan sokongan yang diperlukan kepada perniagaan - yang kesemua adalah ke arah cara yang seimbang, inklusif dan mampan untuk Malaysia," katanya ketika berucap di perasmian webinar Perbahasan Pasca Belanjawan Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) 2022, semalam.

Beliau berkata, hasil daripada gabungan asas yang kukuh, landskap global yang menyokong dan asas ekonomi yang pelbagai, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.

"Dengan pembukaan semula ekonomi sempena campur tangan dasar di bawah Bajet 2022, kami mengunjurkan untuk mengurangkan pengangguran kepada empat peratus atau lebih baik di bawah, digabungkan dengan pemulihan perniagaan yang kukuh," katanya.

Asri menegaskan Bajet 2022 juga mengutamakan ekonomi yang makmur dan mampan, di mana keutamaan segera adalah untuk menyokong pemulihan ekonomi yang kukuh.

"Oleh itu, pembukaan semula ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN) disokong oleh pendirian dasar fiskal yang mengembang.

"Untuk tidak menarik balik sokongan fiskal sebelum waktunya, kerajaan memutuskan untuk menyederhanakan defisit fiskal sahaja daripada unjuran 6.5 peratus pada 2021 turun kepada 6.0 peratus daripada KDNK pada 2022," katanya.

Menurutnya, pengurangan defisit yang sederhana itu juga sebagai menyokong agenda dan projek pembangunan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah memacu transformasi ekonomi dan melaksanakan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif merentas wilayah dan masyarakat.

Bajet 2022 mewakili bajet terbesar negara setakat ini dengan peruntukan RM332.1 bilion dan termasuk menyediakan bantuan tunai terbesar kepada rakyat B40 dengan Bantuan Keluarga Malaysia membabitkan hampir 10 juta penerima dan peruntukan RM8.2 bilion serta bantuan kebajikan melebihi RM2 bilion.

Bajet 2022 juga menjanjikan 600,000 pekerjaan baharu dengan peruntukan RM4.8 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 7:00 AM