MEER sentiasa optimis dengan apa dilakukan.
MEER sentiasa optimis dengan apa dilakukan.
Sudirman Mohd Tahir

Biarpun pernah melancarkan lagu Saranghae yang mengetengahkan muzik dan elemen K-Pop, Jun lalu, penyanyi Meer Nash nekad tampil dengan lagu sama tapi versi 'demo'. Niat penyanyi yang diberi gelaran Oppa Malay itu turut disokong penuh, Universal Music Malaysia.

Tambahan pula versi berkenaan menjadi percubaan sulung Meer atau nama penuhnya, Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul menunjuk skil menulis lagu buat julung kali. Maka, karya ciptaannya bersama Rafiq Zahri itu dilancarkan pada 10 September lalu di platform YouTube dan boleh juga distrim pelantar digital popular.

Menurut Meer, biarpun dilancarkan dalam versi berbeza lagu itu disifatkan mempunyai kelainan tersendiri dari segi 'jiwa'.

"Bagi saya lagu ini ada 'roh' yang sama, cuma berbeza jiwa. Saya tulis lagu ini pada 20 Ogos tahun lalu. Hari sama juga, saya rakam versi 'demo' di Soundfuse Studio. Ia sangat istimewa dan ada nilai sentimental kerana liriknya saya tulis bersama Bella Iris.

"Saya fikir kenapa tidak dilancarkan juga versi 'demo' ini. Setidaknya boleh saya kongsi perjalanan dan momen menulis lagu ini dengan peminat. Mana tahu, perkongsian sebegini boleh memberi inspirasi kepada penulis lagu atau artis lain. Saya pun masih 'hijau' tapi, itu tidak bererti kita tak boleh mencetuskan ilham kepada orang lain dan saya fikir pengalaman itu tetap berharga tak kira bagaimana laluannya," katanya.

Meer berkata, dia enggan 'mencemari' versi asal lagu berkenaan, maka tiada rakaman semula dilakukan untuk penambahbaikan.

"Saya selesa mengekalkan 'aroma' sentuhan asal. Saya rakam ketika itu hanya bertemankan gitar dan sekali 'take'. Saya alunkan dengan gaya akustik yang sederhana dan secara langsung. Masa itu banyak melodi dan lirik yang belum pasti lagi.

"Memang nampak macam sedikit 'huru hara'. Tapi niat saya hanya nak rakam 'demo' tanpa meletakkan sebarang jangkaan pun. Ia ibarat apa yang kita dengar kali pertama, begitulah bunyinya. Ia boleh saya katakan karya lebih jujur, 'raw' dan ada sedikit 'pitchy'. Kalau dengar versi saya lancarkan Jun lalu, semuanya nampak sempurna apabila ditambah baik," katanya.

Meer yang pernah menyertai program I Can See Your Voice Malaysia tahun lalu berkata, Saranghae bukan lagu pertama diciptanya.

"Sebelum itu, saya sudah beberapa kali menulis lagu. Tapi saya masih rasa kekurangan dan belum cukup bagus. Namun, Saranghae bagai menyuntik semangat luar biasa hingga saya berani mengetengahkannya ke pasaran komersial. Pendek kata, perjalanan melengkapkan karya lagu ini sangat manis dan bermakna.

"Ikutkan saya sedang merencana single seterusnya yang masih belum berjudul. Baru 30 peratus siap. Kalau sesuai, mana tahu saya boleh minta Universal Music pertimbangkannya. Setakat ini ada empat lagu termasuk Saranghae yang saya cipta. Selebihnya, saya fikir lebih baik peram saja. Nak 'jual' dan ketengahkan pun tak yakin.

"Tapi saya tidak pernah melihat apa saja perkara sebagai penamat untuk terus berkarya. Selagi mampu berkongsi apa yang tersimpan dalam hati dan diluahkan ke dalam bentuk lagu, pasti saya lakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:25 AM