MEER memilih genre K-pop kerana sangat meminati muzik daripada Korea Selatan itu.
MEER memilih genre K-pop kerana sangat meminati muzik daripada Korea Selatan itu.
Najiy Jefri


PENYERTAAN jejaka yang mendapat jolokan Oppa Malay dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu membuka pintu rezeki dalam kerjaya nyanyian Meer Nash.

Siapa sangka, pemilik nama sebenar Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul bukan hanya mahir dalam bidang nyanyian, malah jejaka berusia 26 tahun ini turut mengintai peluang dalam bidang penciptaan lagu selepas menghasilkan single berjudul Saranghae berkonsep K-pop.

"Lagu Saranghae ini adalah karya saya sendiri. Kalau ikutkan lagu ini bukan lagu pertama saya. Sebelum ini saya pernah menulis beberapa lagu, tetapi belum cukup bagus untuk diketengahkan.

"Namun, apabila menulis lagu Saranghae, saya puas hati dan menyifatkan ia boleh dikomersialkan," katanya.

Menyasarkan kelompok peminat muzik K-pop, Meer berharap lagu Saranghae dapat diterima pendengar tempatan.

"Sasaran saya untuk lagu ini adalah peminat K-pop. Sebab dalam negara kita sendiri ada ramai peminat muzik K-Pop. Jadi, saya nak gunakan gelaran yang diberikan sebaik-baiknya," katanya.

Menurut Meer, dia mengakui tidak mudah untuk menyiapkan lagu terbabit, namun berkat pertolongan kawan baik akhirnya lagu terbabit berjaya disempurnakan.

Dalam pada itu, Meer menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mirip wajah anggota kumpulan BTS, Jimin.

Namun, Meer mengakui dia memiliki ketinggian dan sama usia dengan penyanyi yang kini mencetuskan fenomena di seluruh dunia itu.

"Apabila ada yang beritahu wajah saya mirip Jimin, saya tak rasa muka kami sama langsung. Namun, kami memiliki ketinggian yang sama iaitu 174 sentimeter serta umur yang sama.

DIKATAKAN mirip Jimin BTS.
DIKATAKAN mirip Jimin BTS.

"Ada juga yang mengatakan fesyen rambut kami hampir serupa, tapi saya memang tak jadikan dia atau fesyen Korea Selatan sebagai rujukan. Saya sendiri yang nak gayakannya begini," katanya.

Saranghae yang diterbitkan Universal Music Malaysia kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:31 AM