Meer Nash (kanan) dikatakan mirip Jimin BTS (kiri).
Meer Nash (kanan) dikatakan mirip Jimin BTS (kiri).
Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Meer Nash menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mirip wajah anggota kumpulan BTS, Jimin. 

Namun, Meer mengakui dia memiliki ketinggian dan sama usia dengan penyanyi yang kini mencetuskan fenomena di seluruh dunia itu.

"Apabila ada yang beritahu wajah saya mirip Jimin, saya tak rasa muka kami sama langsung. Namun kami memiliki ketinggian yang sama iaitu 174 sentimeter serta umur yang sama. 

"Ada juga yang mengatakan fesyen rambut kami hampir serupa, tapi saya memang tak jadikan dia atau fesyen Korea Selatan sebagai rujukan. Saya sendiri yang nak gayakannya begini," katanya. 

Menurut Meer, dia juga bersedia untuk menerima sebarang kecaman apabila single terbaharu ciptaannya, Saranghae mempunyai elemen muzik K-Pop. 

"Lagu ini bukan lagu pertama saya. Sebelum ini saya pernah tulis beberapa lagu, tapi saya berasakan masih belum cukup bagus lagi untuk diketengahkan. Namun, ketika menulis lagu ini saya terus jatuh cinta dan percaya boleh dikomersialkan. Ada yang tanya, kenapa saya nak masukkan elemen dan frasa Korea? 

"Selepas menyertai program I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga tahun lalu, orang mula panggil saya Oppa Malay. Jadi, saya nak gunakan identiti yang diberikan itu. Saya bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman apabila saya tampil dengan single sebegini. Malah, sebelum single ini keluar pun, sudah ada kecaman.

"Ada yang kutuk muka saya macam tapak kaki Jimin dan macam-macam lagi. Bagi saya, inilah ujian dan dugaan yang perlu saya lalui apabila mahu bergelar artis," katanya. 

Saranghae yang diterbitkan Universal Music Malaysia kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:10 PM