MEER Nash muncul dengan single terbaharu, Permata.
MEER Nash muncul dengan single terbaharu, Permata.
Norhayati Nordin


DIBESARKAN dalam 'broken family' oleh ibu tunggal diakui penyanyi Meer Nash, 28, bukan perkara mudah dilakukan seorang wanita. Apatah lagi, bersama tiga anak lelaki yang masih kecil ketika itu.

Bagaimanapun, Meer Nash atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul menyifatkan ibu tercinta, Selina Lee Abdullah, 53, sudah berjaya membuktikan kasih sayang pada anak-anak itu kekuatan semangat bagi wanita.

"Emak saya adalah permata hati yang sudah berjaya mendidik saya sejauh ini. Malah, dia (emak) juga menjadi tulang belakang untuk saya terus berusaha mengejar impian dalam hidup ini iaitu ingin membahagiakannya.

"Saya akan terus berusaha sehingga berjaya kerana kalau emak saya dapat melakukannya sendirian, kenapa kami (anak-anak) tidak boleh mengikut contoh yang ditunjukkannya itu. Saya takkan mudah patah semangat atau cepat rasa kecewa.

"Walaupun tak dinafikan penat kerana sekarang saya terbabit dalam persaingan Big Stage musim kelima, tapi saya sentiasa ingat satu benda nak balas jasa emak saya," katanya kini muncul dengan single terbaharu, Permata.

Meer Nash yang berasal dari Pulau Pinang mengakui dia masih tetap berhubung dengan bapanya, namun mereka tidak begitu rapat.

Katanya, pertalian darah antara bapa dan anak itu tidak putus, malah terus dijaga.

"Saya baik saja dengan keluarga dan saudara-mara sebelah bapa. Tapi, kalau ikutkan paling rapat memang di sebelah emak saya kerana membesar dari kecil di Pulau Pinang. Saya, abang dan adik, kami selalu bertiga.

"Sekarang, keutamaan kami adalah pada emak dan berdoa supaya dia (emak) sihat-sihat selalu. Alhamdulillah, baru-baru ini emak saya turut terbabit dalam pembikinan muzik video single Permata. Dia seronok, teruja dan gementar.

"Walaupun tidak biasa di hadapan kamera, tapi emak tetap dapat melakukan terbaik untuk saya. Sebagai anak, saya bangga dengan emak terutama statusnya sebagai ibu tunggal dan wanita mualaf. Emak saya hebat," katanya.

Berbicara mengenai single Permata, Meer Nash berkata, lagu hasil ciptaan Senna dan Afiq Aiman serta lirik ditulis Senna itu didedikasikan khas untuk ibunya. Katanya, dia terus teringat kepada ibunya sebaik menerima lagu berkenaan.

MEER Nash kini bersaing hebat dalam pertandingan Big Stage 5.
MEER Nash kini bersaing hebat dalam pertandingan Big Stage 5.

"Apabila mendengar melodi dan lirik lagu Permata, ia terus menggambarkan emak saya. Terus terang saya berasakan lagu (Permata) ini sangat sesuai dihadiahkan untuk emak sempena Hari Ibu, termasuk semua wanita yang bergelar ibu.

"Lagu ini auranya sangat positif, penuh semangat dan lambang kasih sayang. Macam saya, lebih berasakan ia kasih sayang ibu kepada anak serta semangat wanita dalam menikmati sebuah kebahagiaan. Lagu ini dekat di hati saya," katanya.

Meer Nash yang tampil dengan single solo, Lai Ai pada 2018 sudah mempunyai lima single iaitu Jauh, Saranghae, Kajima dan Permata. Malah, dia yang memiliki ijazah perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga berbakat sebagai pelakon dan pengacara.

Namun, Meer Nash mengakui fokusnya lebih kepada muzik dan nyanyian. Katanya, dia sangat meminati muzik terutama genre balada. Bagaimanapun, dia juga seronok dapat melancarkan lagu yang memerlukannya menyanyi sambil menari atau 'dance music'.

Cabaran Big Stage 5

Melihat cabarannya dalam persaingan pertandingan realiti nyanyian ini yang baru bermula sejak minggu kedua lalu, Meer Nash berkata, dia mempunyai masa agak terhad untuk membuat persediaan.

Katanya, ada tempoh seminggu saja untuk berlatih dan bersedia.

"Saya akui sangat gementar ketika membuat persembahan. Hingga juri ada beri komen yang saya masih tak beri cukup tenaga atas pentas walaupun sebenarnya saya dah buat semuanya. Dalam soal ini (beri komen), juri lebih tahu.

MEER Nash bersama ibu, Selina Lee.
MEER Nash bersama ibu, Selina Lee.

"Semua komen daripada juri, saya terima dengan hati terbuka dan positif. Saya akan perbaiki dari masa ke semasa mana yang kurang itu. Cuma memang tak boleh elak rasa gementar ketika menerima komen diberikan.

"Lebih-lebih lagi komen daripada Ajai. Boleh dikatakan komen Ajai agak pedas, tapi sebenarnya dia banyak membantu saya perbaiki kesilapan kerana melihat komen Ajai itu, dia ke arah memberi tunjuk ajar," katanya.

Mengulas juga mengenai saingan barisan peserta, Meer Nash berkata, sangat sengit kerana semuanya ada kehebatan masing-masing. Katanya, kena sentiasa bersedia kerana apabila atas pentas mereka (peserta) akan menunjukkan keupayaan sebenar.

"Apa pun, saya akan berusaha memberi saingan terbaik walaupun bukan mudah. Bagi saya setiap peserta ada potensi mereka dan sukar untuk membuat jangkaan kerana semua peserta bagus-bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:00 AM