TANDA aras teroka bidang penerbitan filem.
TANDA aras teroka bidang penerbitan filem.
Syafil Syazwan Jefri


UNTUK menggalas tanggungjawab sebagai penerbit generasi baharu bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila karya filem yang diterbitkan dinantikan penonton.

Bagi pasangan pelakon yang kini bergelar penerbit, Aeril Zafrel, kehadiran buah tangan baharu bersama isteri, Wawa Zainal iaitu filem berjudul Abnormal Buas menjadi penanda aras dalam menerokai bidang penerbitan filem.

Tidak hanya itu, Aeril dan Wawa 'turun' padang dan menggalas tanggungjawab sebagai pelakon di samping anak sulung mereka, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa Suhairil.

"Selepas dua tahun tak berlakon, untuk berlakon semula satu cabaran juga sebab watak saya bawakan ini agak berat. Momentum kena ada. Pada masa sama, saya sertai kelas bersama anak dan isteri saya," katanya.

Aeril yang melakonkan watak sebagai lelaki psiko bernama Izo berusaha mencari dan menggali identiti untuk disesuaikan dengan watak itu tanpa sebarang rujukan.

"Saya sebenarnya tiada rujukan. Saya lebih kepada untuk buat sesuatu pada waktu itu dan ketika saya berlakon, saya ada tonton beberapa cerita lain. Tapi, tak ada rasanya cerita yang begini. Lebih kepada usaha sendiri.

"Sebenarnya, watak saya itu boleh jadi pelbagai karakter. Boleh jadi ganas dan tiba-tiba keanak-anakkan. Dia sebenarnya sejak kecil dah trauma dan disuntik dengan 'benda' ganas. Tambahan pula, dia dilatih oleh E1 yang jadikan dia seorang yang ganas. Dia tak ada perasaan," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai penjiwaan watak lelaki psiko itu, Aeril tidak menafikan dia juga terbawa-bawa perwatakan itu sehingga ke rumah.

"Ketika menjalani penggambaran filem ini, kadang-kadang saya terbawa sampai ke rumah dan Wawa tak suka. Ada perangai dia yang saya terikut-ikut," katanya.

Paling mencuri perhatian adalah kehadiran watak ketua gerakan rahsia E1 yang dilakonkan pelakon veteran, Ahmad Yatim.

"Kami antara orang paling beruntung sebab dah berdekad-dekad dia tak berlakon. Tentunya apabila dia terima tawaran ini, kami nak wujudkan watak yang kuat.

"Cabarannya dia dah hilang penglihatan. Jadi, kalau dia tak buta, mungkin watak dia boleh berjalan dan sebagainya. Tapi, sebab dia dah hilang penglihatan, kami sesuaikan dialog.

"Nak memujuknya bukan mudah. Saya rasa sudah ramai penerbit cuba pujuk dia untuk kembali ke dalam industri filem. Memang watak itu dicipta untuk dia dan dia akan ada dalam prekuel dan sekuel selepas ini," katanya.

Bercerita mengenai dilema untuk 'menyerahkan' Wawa yang pada ketika itu sarat mengandung untuk diseksa hidup-hidup oleh watak Izo, Aeril bersyukur kerana semuanya berjalan lancar tanpa kecederaan kepada isterinya.

"Alhamdulillah, tiada kecederaan. Wawa pun banyak aksi, tapi tak ada kecederaan.

"Nak buat babak aksi memang penat untuk badan. Ada ketika saya demam sebab terlalu penat. Tapi, dipermudahkan segalanya. Tentunya semua ini takkan berlaku tanpa semangat daripada arwah Abang Zack yang juga pengarah.

"Dia pengarah yang selalu berikan semangat walaupun sudah jam 4 pagi. Jadi, itu yang membakar semangat kami semua," katanya.

Filem yang menelan kos RM1.2 juta ini turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air antaranya, Wawa Zainal, Nabila Huda, Shaheizy Sam, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosemila, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jalil Hamid dan Kodi Rasheed.

Filem Abnormal Buas yang diarahkan Allahyarham Azhari Zain atau Zack mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:00 AM