WAN Harris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara 3.15 petang tadi.
WAN Harris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara 3.15 petang tadi.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bapa penyanyi, Eleena Harris iaitu Wan Harris Wan Mahmood, 66, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 8.40 pagi, hari ini.

Eleena ketika dihubungi berkata, ia adalah pemergian yang tidak dijangka dan kehilangan besar buat keluarganya.

"Pemergiannya memang mengejutkan kami dan memang tak disangka sebab ayah tak ada sebarang penyakit kronik.

"Namun, sejak seminggu lalu dia dimasukkan ke hospital kerana diserang angin ahmar ringan untuk menjalani rawatan dan fisioterapi. Kemudian keadaannya stabil," katanya kepada Harian Metro.

Lebih menyedihkan, dia dan keluarga tidak berkesempatan menghubungi Allahyarham disebabkan beberapa kekangan.

"Ketika ayah dimasukkan ke hospital, dia perlu menjalani empat kali ujian calitan Covid-19. Alhamdulillah, dia negatif dan sejak seminggu lalu, masih lagi berada di wad transit. Dia belum sempat dipindahkan ke wad sebenar untuk rawatan. Jadi, di wad transit itu peraturannya agak ketat berikutan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19. Jadi, dalam seminggu ini, kami memang tak dapat berbual dengan ayah melalui panggilan telefon, video dan sebagainya," katanya.

Jenazah dikebumikan pada jam 3.15 petang di Tanah Perkuburan Kota Damansara jam 3.15 petang hari ini selepas disolatkan di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara.

Di Instagram, Eleena turut berkongsi berita pemergian bapanya dan memohon pengikutnya di platform media sosial itu sedekahkan bacaan surah al-Fatihah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 8:07 PM