AJAI dan Allahyarham Siti Sarah.
AJAI dan Allahyarham Siti Sarah.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Sebagai antara individu terawal menaikkan nama Allahyarham Siti Sarah, komposer terkenal Ajai, 46, menyifatkan penyanyi itu cukup tinggi budi pekertinya.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata peluang bekerja dengan penyanyi berbakat luar biasa itu akan dikenangnya sampai bila-bila dan sungguh bermakna.

Dia juga akan sentiasa mengagumi keperibadian Siti Sarah sebagai seorang insan yang cukup mulia. Bahkan, tidak sangka lagu Semakin Benci Semakin Cinta menjadi karya terakhir nukilannya untuk dinyanyikan arwah.

"Saya mengenali beliau seawal kerjaya seninya. Peluang memberikan karya-karya ciptaan saya padanya adalah satu penghargaan.

"Bekerja dengan seorang insan seni yang mempunyai kurniaan bakat sangat indah daripada Allah. Adik, kita mula dengan Kesetiaan, begitulah sifat kamu adik.

"Setianya kamu sebagai seorang isteri, ibu, anak dan sahabat. Budi pekerti adik sangat indah. Yang terakhir bersama adik, untuk lagu duet bersama. Rupanya itulah kenangan tawa terakhir kita," katanya.

Ajai mengakui cukup bersedih hingga hilang kata-kata, namun reda dengan pemergian permata berharga seni suara itu. Dia turut berdoa semoga Shuib kuat dan tabah menghadapi ketentuan itu.

"Sebesar mana kasih sayang kami padamu adik, besar lagi kasih Allah yang menjemputmu. Hilang kata, hilang rasa, hilang sebutir permata. Moga syurga buatmu adik.

"Damailah kau di bumi abadi. Buat Ib (Shuib), kamu kena kuat. Jangan sia-siakan apa yang sudah kamu bina bersamanya. Demi anak-anak Ib," katanya.

Semalam, seluruh negara bersedih dan meratapi pemergian Allahyarham Siti Sarah selepas arwah bertarung dengan jangkitan Covid-19.

Arwah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), jam 5.13 pagi dan jenazah kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 11:27 AM