Tiga anak Allahyarham Siti Sarah teruja menjaga adik bongsu mereka, Ayash Affan.
Tiga anak Allahyarham Siti Sarah teruja menjaga adik bongsu mereka, Ayash Affan.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Kepulangan anak bongsu penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ayash Affan disambut dengan penuh rasa kegembiraan oleh tiga lagi permata penyanyi itu. 

Menerusi perkongsian video dan gambar  di akaun Instagram Siti Sarah yang dikendalikan oleh ibu tiri Allahyarham, Siti Fatimah Suberi menunjukkan reaksi ketiga-tiga cahaya matanya bersama pelawak Shuib itu kelihatan amat teruja dan seronok. 

"Alhamdulillah. Keterujaan abang dan kakak melihat adik mereka. Semenjak dari hospital, Uwais, Talita dan Matin hari-hari tanya fasal Ayash. 

"Mereka nampak gembira sangat bila dapat tengok Ayash depan mata. Sebelum sampai, tiga beradik ni duduk depan pintu rumah tunggu daddy bawa balik Ayash," katanya.

Dalam masa sama, Fatimah atau lebih mesra disapa MakDe berkata, kehadiran Ayash adalah pengganti Allahyarham Siti Sarah. 

"Terima kasih kepada semua yang  mendoakan Ayash, Shuib, Uwais, Talita dan Matin serta terima kasih kepada semua yang rindukan arwah Siti Sarah. 

"Sepatutnya esok hari lahir arwah yang ke-37 tapi aturan Allah tak siapa yang tahu. Kini, hanya Ayash yang hadir di rumah ini sebagai pengganti arwah. Terus doakan kesejahteraan arwah di sana, Al-Fatihah," katanya.

Ayash selamat dilahirkan pada 6 Ogos lalu secara pembedahan selepas Siti Sarah ditidurkan akibat Covid-19. 

Selain Ayash, perkahwinan Shuib dan Siti Sarah juga dikurniakan  tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:39 PM