MOHD Faizal Maas
MOHD Faizal Maas

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi Ajai, 47, enggan ambil hati dengan komen kesat daripada segelintir netizen yang menyifatkan kritikannya sebagai juri Big Stage 2022 cukup pedas.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata, segala kritikan diberikan kepada peserta program itu bertujuan untuk kemajuan kerjaya seni mereka jika mahu bertahan dalam industri hiburan khususnya bidang muzik.

"Fokus utama saya hanyalah kepada peserta Big Stage 2022, melakukan tanggungjawab saya dan memastikan mereka semua faham mengenai maksud kerjaya.

"Pada peminat-peminat mereka yang sudah melontarkan kata-kata kesat kepada saya, jangan risau, saya faham. Saya sentiasa memaafkan," katanya.

Ajai juga berharap peserta yang bertanding dalam program itu yakin dan perlu percaya sepenuhnya terhadap bakat sendiri selain siap siaga hadapi ranjau duri bergelar anak seni.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau takut dilanda ombak, jangan berumah di tepi pantai," katanya.

Ajai selaku juri tetap program itu sentiasa menjadi perdebatan netizen terutama dalam pemberian markah. Kritikannya juga terlalu jujur dan kadang-kadang agak pedas terhadap peserta.
Minggu lalu, penyanyi Tuah Adzmi menjadi peserta tersingkir dan kini hanya tinggal sembilan peserta bertanding.

Mereka ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Daniel Chuer, Tegar Septian, Syafiq Abdillah, Sofia Marielylla, Yasmin Aziz, Ajoi Zainal dan Megat Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 5:44 PM