Fiza dan bekas suami, Aizat bercerai, Julai tahun lalu.
Fiza dan bekas suami, Aizat bercerai, Julai tahun lalu.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Fiza Halim mengesahkan sudah bercerai menerusi perkahwinan ketiganya pada 22 Julai, tahun lalu.

Fiza, 42, atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim berkata baru kali ini dia mempunyai kekuatan untuk berkongsi perkara sebenar, selain akur dengan suratan hidup.

"Saya ambil masa untuk merungkaikan hal sebenar. Ia bukan mudah. Tapi baru saat ini saya ada kekuatan untuk mendedahkan status diri. Kami bercerai talak satu. Saya diceraikan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Punca atau sebab kenapa kami berpisah itu, biarlah saya simpan dan tanggung sendiri. Saya tak mahu membuka aib sesiapa.

"Saya sedar dengan status pernah berkahwin tiga kali, pasti ada yang akan memandang serong. Namun saya hanya manusia biasa, yang tak lepas diuji. Saya tak hidup dek puji, tak mati dek keji," katanya.

Dalam pada itu, Fiza juga beruntung kerana bekas suami menerusi perkahwinan pertama, Ahmed Farriq Zainul Abidin sangat menyokong terutama menjaga dua anak mereka, Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.

Mereka bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.

Fiza seterusnya berkahwin dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013. Mereka kemudian bercerai pada September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Menerusi perkahwinan ketiga dengan juruterbang, Aizat Al Jefri pada Disember 2016 itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Baby Aleena kini berusia hampir tiga tahun.

Fiza bersama anaknya, Baby Aleena.
Fiza bersama anaknya, Baby Aleena.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 10:41 AM