FIZA Halim. FOTO IG
FIZA Halim. FOTO IG
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Fiza Halim,40, memohon maaf kerana masih lagi tidak boleh menjawab pertanyaan media berhubung isu didakwa 'kaki sondol' yang membabitkannya tular di media sosial, baru-baru ini.

Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim berkata dia tidak dapat memberi jawapan kerana isu itu sudah menjadi kes polis dan kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

"Saya mohon maaf kerana pihak polis tidak benarkan memberi apa-apa kenyataan berhubung perkara yang tular di media sosial itu. Ia masih dalam siasatan lagi," katanya.

Menurut bekas anggota kumpulan Elite itu, dia juga tidak berhasrat mahu mengelak diri daripada pihak media untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung isu terbabit.

"Tapi, buat masa sekarang saya memang kena kunci mulut dulu daripada mengeluarkan atau berkongsi sebarang kenyataan kerana kes masih dalam siasatan.

"Justeru, biarlah pihak polis  melakukan kerja mereka dulu dan saya minta maaf kerana tidak dapat nak ulas apa-apa," katanya lagi. 

Menurut pelakon filem Getaran ini, dia akan berkongsi sebarang maklumat terkini sebaik segala urusan siasatan selesai dan hasil keputusan diperolehnya.

Terdahulu, nama Fiza menjadi bualan dalam Twitter selepas muncul seorang individu yang juga bekas adik iparnya mendakwa dia seorang 'kaki sondol' dan pemusnah rumah tangga orang.

Sehubungan itu, Fiza yang juga ibu kepada tiga orang anak membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Untuk rekod, Fiza pernah bernikah tiga kali. Bersama bekas suami pertama, Ahmed Farriq Zainul Abidin, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.

Manakala, perkahwinan keduanya bersama penyanyi Adam AF pada September 2013, namun mereka tiada anak dan rumah tangga dibina tidak kekal apabila bercerai.

Kali ketiga, Fiza bertemu jodoh dengan juruterbang berstatus duda, Aizat Al Jefri pada Disember 2016. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Baby Aleena, berusia tiga tahun dan bercerai pada Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:08 PM