Fiza Thomas.
Fiza Thomas.
Norhayati Nordin


PELAKON iklan Rendang SoRaya, Fiza Thomas, 27, berasa dirinya bernasib baik kerana belum pernah berhadapan ditolak pihak produksi walaupun jumlah pengikut media sosialnya masih sedikit.

Fiza, bakat baharu yang menceburi lakonan selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) 2016, ditemui berkata setakat ini tiada pula pihak produksi yang menghubunginya untuk tawaran berlakon menyelidik berapa banyak jumlah pengikut Instagram.

"Saya ada dengar juga segelintir pelakon meluahkan kekecewaan mereka apabila sukar dapat tawaran, kerana berhadapan masalah kurang pengikut di Instagram.

"Untuk saya, setakat ini Alhamdulillah tidak pernah pula mengalami situasi sebegitu, Rasa syukur sangat meskipun, jumlah pengikut Instagram saya baru mencecah lebih 43,000," katanya kepada Harian Metro.

Fiza yang makin rancak mendapat peluang berlakon drama selepas membintangi iklan PETRONAS, Rendang SoRaya sempena Aidilfitri tahun lalu, berkata dia sentiasa yakin pada rezeki.

"Bagi saya, kalau sudah rezeki pasti ada tawaran berlakon. Dalam soal Instagram pula, saya akui masih berusaha meningkatkan jumlah pengikut.

"Cuma, saya tidak memilih cara menghasilkan video negatif untuk cepat tular di media sosial. Biarpun ia mungkin cara paling mudah untuk tarik pengikut, tapi saya tak sanggup nak buat," katanya.

Menurut Fiza lagi, dalam setahun ini dia melihat kerjaya lakonannya makin menunjukkan peningkatan positif. Ujarnya, tak apalah nama dan bakat naik perlahan- lahan.

Baru-baru ini, Fiza muncul melakonkan watak pembantu sebagai Jasmin dalam drama Syurga Untukmu di slot Samarinda TV3, yang dibintangi bersama pelakon Fahrin Ahmad, Datin Diana Danielle dan Julia Farhana Marin.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip@ Thomas sebelum ini, pernah juga menggunakan nama pentas sebagai Afi AF2016.

Selain berlakon drama, Fiza juga aktif beraksi di pentas teater bersama produksi Enfiniti (M) Sdn Bhd dan pernah terbabit pementasan OlaBola Merdeka Tour, tahun lalu.

/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 7:23 PM