BUNGA CITRA LESTARI
BUNGA CITRA LESTARI
Agensi

Jakarta: "Saya panggil 'hey sayang'. Saya cium pipinya, geletek badannya tapi dia masih tak berjaga. Saya peluk tapi tak bergerak. Saya dapat rasakan sesuatu yang pelik. Saya cakap kepadanya ini bukan sesuatu yang lucu."

Demikian kata penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari yang akhirnya berkongsi detik terakhir bersama Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari tahun lalu.

Bunga atau dikenali sebagai BCL berkata, sehari sebelum kejadian mereka baru pulang dari New York, Amerika Syarikat. Mereka berehat dan keesokan hari menjalani aktiviti seperti biasa.

"Awal pagi lagi dia sudah sibuk dengan beberapa mesyuarat. Sebaik pulang dari New York, macam-macam perkara perlu diselesaikan. Saya pula ke program Indonesian Idol.

"Kami masih berhubung melalui mesej seperti biasa pada waktu tengah hari. Sebaik pulang ke rumah lewat malam saya melihat Ashraf berada dalam bilik. Kami kemudian memilih gambar terbaik untuk single duet saya bersama Ariel Noah berjudul Menghapus Jejakmu untuk platform digital.

"Selepas membuat pemilihan gambar, Ashraf beritahu dia letih selepas menjalani 'cross fit'. Jadi, dia minta izin untuk tidur dulu. Dia kemudian tidur dan saya ke bilik mandi.

"Selepas itu, saya kembali semula ke bilik. Saya kejutkannya, tapi dia tak bangun," katanya.

BCL berkata, pelbagai cara dia lakukan untuk menyedarkan suaminya, namun tidak berhasil hingga menyedari ada sesuatu yang pelik melihat keadaan suaminya itu.

"Saya cuba gerakkan badannya, tapi dia seperti tidak berdaya. Saya terus kejutkan sebab fikir dia mungkin pengsan saja, tapi saya lihat dia langsung tidak bergerak," katanya.

Menurut BCL, dalam keadaan panik dia memanggil ibunya sehingga anaknya, Noah yang sedang tidur turut terjaga.

"Noah terjaga sebaik saya menjerit memanggil ibu. Noah datang kepada saya dan bertanya apa yang sudah berlaku dan kenapa menangis? Saya beritahu Noah untuk ikut saya sebab bapanya tidak sedarkan diri. Saya beritahu kita perlu ke hospital segera," katanya.

Sebaik tiba di hospital, Ashraf akhirnya disahkan meninggal dunia.

Ashraf yang juga pelakon dari Malaysia meninggal dunia pada jam 4.51 pagi dipercayai akibat serangan jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan San Diego Hills, Karawangan, Jawa Barat, Indonesia.

Sejak pemergian suaminya, BCL pernah berkata, tidak pernah satu hari pun dirinya tidak merindui Ashraf. Dia juga sentiasa menziarahi pusara Ashraf bagi mengubati kerinduan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 10:09 AM