BAKAL teman lelaki harus terima arwah Ashraf sentiasa terpahat dihati, serah ketentuan pada Allah. - FOTO Rohanis Shukri
BAKAL teman lelaki harus terima arwah Ashraf sentiasa terpahat dihati, serah ketentuan pada Allah. - FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph


SEDIKIT demi sedikit, perit ditanggung Bunga Citra Lestari atau BCL mungkin kian terhakis berikutan pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair pada Februari 2020 lalu.

Beliau menerima takdir bergelar ibu tunggal kini dan perlu membesarkan anaknya Noah, 12, seorang diri.

Walaupun kehilangan itu sangat membekas, dia perlu bangkit dan terus mencari bahagia.

Ketika ditemui di Kuala Lumpur beliau berkata, sumber kekuatannya sekarang kerana dia membawa semangat Ashraf.

Ashraf adalah penyokong terkuatnya baik sejak masih hidup dan kini walaupun cuma tinggal di hati.

"Banyak yang ingin saya capai dalam hidup dan Ashraf sentiasa memberikan sokongan penuh. Dia selalu mahu saya berkembang lebih besar dan kejar segala impian saya.

"Dialah yang sentiasa menyokong tanpa mempersoalkan dan yakin bahawa saya mampu pergi lebih jauh lagi. Itulah yang saya lakukan untuk dia dan untuk saya juga sekarang.

"Selama ini ada yang menjaga tapi sekarang kena jaga diri sendiri," katanya sewaktu ditemui selepas sidang media Konsert Blossom - Bunga Citra Lestari, di sini, baru-baru ini.

Istimewanya, mengadakan konsert sulung di sini adalah antara impian Allahyarham juga.

Ashraf sendiri pernah mengutarakan hasratnya kepada pengurus acara Iman Tang bagi membawa BCL ke sini untuk konsert solo pertamanya.

Penyanyi Wanita Terbahagia itu hanya mengetahui perkara itu dalam tahun ini selepas Iman dedahkannya. Justeru, baginya Ashraf tanpa sengaja antara orang paling penting realisasikan impian diidamkan sekian lama berkenaan.

BCL takkan cari pengganti Ashraf, tapi tak tutup hati bertemu jodoh baharu. - FOTO Rohanis Shukri
BCL takkan cari pengganti Ashraf, tapi tak tutup hati bertemu jodoh baharu. - FOTO Rohanis Shukri

"Saya putuskan komunikasi dengan orang luar agak lama dan tahun ini baru dapat bercakap dengan Iman. Sehinggalah diberitahu olehnya dan saya harus pastikan ia berlaku (konsert).

"Ini impiannya dan saya sendiri tapi saya yang kena jadikan ia pasti. Dengan bantuan rakan-rakan di sini, saya ingin lakukan sesuatu yang akan memberikan impak dan kembali menyapa peminat-peminat di Malaysia.

"Berkongsi cerita hidup kerana mungkin banyak yang mereka terlepas selepas terputus komunikasi. Jadi ini masa yang tepat untuk saya berkongsi mengenai kisah saya," katanya.

Sudah semakin ceria dan lebih terbuka menyingkap fasanya kian sembuh dari berduka, BCL tidak menafikan sakit itu tetap akan datang dan pergi. Meski semakin berkurangan, rindu kepada Ashraf akan sesekali bertandang.

Selama lapan bulan lamanya meratap pemergian suami tercinta, dia sedar kesakitan itu tetap akan kekal selamanya. Tetapi baginya menangis itu sangat perlu sebagai proses melepaskan sakit secara beransur.

"Ketika itu, setiap hari sebaik bangun tidur, saya menangis. Selepas itu, barulah saya boleh lakukan perkara lain. Sekarang masih juga tapi selepas itu jadi seminggu tiga kali, seminggu sekali, sebulan sekali," katanya.

Menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan ibu kepada Noah, ternyata bukan mudah buat BCL. Kadang dia sendiri merasakan sangat tidak adil apabila Noah kini tidak dapat lagi merasa kasih seorang bapa.

"Yang berat buat saya adalah menerima bahawa Noah tidak punya bapa. Ia sangat sulit. Untuk saya sendiri kehilangan suami pun, saya berusaha untuk cuba menerima.

"Tapi, menjadi ibu yang anaknya tiada bapa, betul-betul sukar. Kalau ada sambutan Hari Bapa di sekolah, saya tak tahu buat apa. Saya cuma bincang dengan Noah mengenainya sama ada dia nak pergi atau tidak tapi dia sendiri kata tidak.

BUNGA Citra Lestari pada majlis sidang media konsertnya akan diadakan di Kuala Lumpur. - FOTO Rohanis Shukri
BUNGA Citra Lestari pada majlis sidang media konsertnya akan diadakan di Kuala Lumpur. - FOTO Rohanis Shukri

"Pada sisi lain, saya harus tetap cari rezeki dan membesarkannya sendirian. Ia bukan mengenai diri saya saja, saya ada keluarga, pengurusan, dan kena berjalan terus sambil menjadi ibu terbaik buat Noah," katanya.

Diusik soal jodoh, BCL sudah menetapkan syarat bahawa lelaki yang ingin mendekatinya perlu faham Ashraf tetap nombor satu di hatinya. Dia tidak menutup hati tapi baginya tiada yang akan mampu jadi pengganti Ashraf.

"Lelaki mana pun harus sedia Ashraf akan sentiasa dalam hati saya selamanya. Dari situ dulu. Kalau faham itu, barulah boleh cuba berkawan dengan saya. Kalau pasal membuka hati, tergantung bagaimana pendekatan seseorang itu kepada saya.

"Tapi ia takkan sama lagi. Saya bukan mencari pengganti, tiada siapa akan mampu menggantikan (Ashraf). Kalau nak jadi kawan untuk berborak, saya okey kerana dulu kan lapan bulan saya berdiam.

"Namun saya takkan paksa diri untuk menemui seseorang tapi tak halang diri untuk bertemu seseorang. Saya cuma ikut apa yang ditakdirkan Allah, saya akan kena tetap jalani hidup," katanya.

Menjelaskan gosipnya rapat dengan Ariel Noah, BCL tegaskan penyanyi itu hanya sekadar rakan akrabnya. Menurutnya, dia faham gosip begitu hanya hiburan terutama buat mereka yang bukannya tahu kisah sebenar hidupnya.

"Dia seorang teman yang baik. Yang salah anggap, mereka kan suka bikin gosip. Kalau tak, nanti kurang hiburan. 'It's okay!'. Tak kenal maka tak cinta. Orang itu kan tiada dalam hidup saya setiap hari, macamana mereka tahu kebenaran.

"Saya juga tidak boleh salahkan mereka kerana pengetahuan mereka tak banyak mengenai saya. Orang bebas berpendapat, tapi saya tetap akan jadi-sendiri saja," katanya.

Konsert Blossom - Bunga Citra Lestari yang akan berlangsung 27 Januari tahun depan, jam 8.30 malam bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bakal dibahagikan kepada tiga segmen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:00 AM