STACY akan tetap memberikan yang terbaik.
STACY akan tetap memberikan yang terbaik.
Sudirman Mohd Tahir

Sepanjang 12 tahun dalam bidang seni, penyanyi, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam sudah tujuh kali beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bermula dengan Aku Stacy pada 2009, Pakai Buang (2010), Jahat (2011), Pelangi Senja (2013), Bosan (2014), Gilalah (2015) dan Not For Sale (2016).

Namun, belum pernah sekali pun lagu nyanyian dan persembahan Stacy, 30, mendapat tempat atau memenangi sebarang kategori.

Terbaharu bagi Separuh Akhir Muzik Muzik 35, Stacy kembali bertanding menerusi dua lagu yang juga ciptaan bersama suami, Akim Ahmad iaitu Khayal dan Aku, Kau Dan Muzik duet bersama Akim.

Menurut Stacy, sebagai penghibur dia sudah sehabis baik memberikan persembahan terbaik dan berkualiti. Kalah atau menang, itu berbalik kepada rezeki.

"Memang ada komen malah ada juga yang pernah cakap, saya sudah memberi yang terbaik tapi tak pernah menang. Secara peribadi, saya buat semua ini untuk peminat dan penyokong yang dari dulu tidak pernah putus memberikan sokongan pada saya. Sebab mereka faham dan tahu apa yang saya hidangkan. Jadi sebab itu saya sangat hargai.

"Kalau ikutkan memang ini pengorbanan yang berlipat kali ganda sebab kena korbankan masa, tenaga dan banyak perkara lain lagi untuk sampai ke tahap itu. Mungkin mereka cakap begitu sebab tiada pengiktirafan. Bagi saya tak mengapa.

"Apa yang penting, bagi saya selagi masih ada, boleh menyanyi dan kerah keringat saya akan terus berkarya selagi masih mampu. Sebab macam di AJL sendiri kita kena faham dan positif. Apabila positif saya akan anggap ia tiada rezeki. Maksudnya AJL pun bukan undian semata-mata, tapi daripada juri pun memainkan peranan," katanya.

STACY dan Akim akan menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya daripada mereka, Aku, Kau Dan Muzik.
STACY dan Akim akan menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya daripada mereka, Aku, Kau Dan Muzik.

Menurut Stacy yang bakal beraksi pada hari pertama iaitu 20 November dan hari ketiga (22 November), jika terlalu memikirkan soal menang dan pengiktirafan ia hanya akan mengecewakan diri sekiranya gagal memperoleh apa yang dimahukan.

"Jadi, kalau kita letak jangkaan itu semua, kita akan kecewa. Akan berasa rugi dengan apa yang dikorbankan. Tapi apabila fikir kita buat untuk 'enjoy' dan tunjuk kreativiti, untuk saya punya peminat dan orang yang sentiasa menyokong saya, itu lebih puas pada saya. Daripada kita mengharap saja kemenangan.

"Sebab AJL adalah pentas besar buat saya walaupun pada separuh akhir saja. Sebab ini satu-satunya program nyanyian di Malaysia yang besar. Itu yang memberi semangat pada saya. Macam saya sudah beberapa kali di pentas akhir.

"Untuk orang baru yang nak ke situ, sekurang-kurangnya mereka melihat apa yang saya ada dan dihidangkan di Malaysia dan bukan biasa-biasa atau saja-saja. Walaupun saya tak meletup sangat, tapi sekurang-kurangnya ada kualiti yang perlu kita tonjolkan sekali gus berikan yang terbaik.

"Dari segi kepuasan apa yang orang nak tengok. Dalam erti kata lain menghiburkan. Nak jadi penghibur kena pedulikan menang atau tidak. Tiada isu buat saya. Apa yang penting puas. Sebab sokongan peminat tak pernah berkurangan dan memberikan semangat untuk buat yang terbaik," katanya.

Dalam masa sama, Stacy mengakui tetap berasa gementar untuk beraksi pada pertandingan itu.

"Gementar sebab pegang tanggungjawab untuk orang yang mengikuti perkembangan nyanyian saya dan setiap karya yang dilancarkan. Disebabkan mereka inilah saya perlu berikan yang terbaik. Sebab itu, untuk kali ini semangat memang lain dan lebih sikit.

"Apatah lagi saya juga baru buka studio tarian baharu. Diharapkan dengan adanya kemudahan itu saya akan lebih fokus dan dapat membuat latihan dengan lebih kompak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 6:20 AM