KOLABORASI dengan suami menerusi lagu Aku Kau Dan Muzik.
KOLABORASI dengan suami menerusi lagu Aku Kau Dan Muzik.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS lebih sedekad menempa nama sebagai penyanyi terkenal, Stacy kini mula berjinak-jinak dalam bidang penciptaan dan penulisan lirik lagu.

Menariknya, Stacy, 30, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam bermula dengan lagu Khayal yang dilancarkan tahun lalu, sekali gus menjadikan dirinya lebih berani untuk terus mengetengahkan bakat yang ada.

Memilih nama Bunga Cantik sebagai nama pena, Stacy mengakui semakin seronok dan ‘gian’ menghasilkan lagu bukan saja untuk diri sendiri, tapi juga beberapa artis di bawah naungan syarikat miliknya bersama suami, Akim Ahmad iaitu Rhythm And Rhyme (RNR).

“Diakui, selepas menghasilkan lagu pertama, saya semakin selesa menjadi komposer. Kalau tahu dari awal keseronokan dan ‘feel’ macam itu, sudah lama saya buat perkara ini.

“Bagi saya, apabila terbabit dalam bidang ini, pemahaman terhadap muzik lebih jelas dan luas. Malah, sebagai penyanyi juga membuatkan diri lebih memahami melodi lagu itu. Memang banyak perubahan dirasai.

“Lebih penting, saya mulai menjadi ‘gian’ nak menghasil dan menulis lirik. Satu pengalaman yang tidak diperoleh sebelum ini. Pendek kata memang menarik dan menambahkan lagi keyakinan untuk menghasilkan yang terbaik,” katanya.

Terbaharu, Stacy sekali lagi berkolaborasi dengan Akim Ahmad menerusi lagu Aku Kau Dan Muzik. Bukan saja sebagai komposer, tetapi berduet.

Lebih membanggakan Stacy apabila lagu yang dilancarkan sejak 14 Februari itu mendapat sambutan dan maklum balas baik daripada peminat.

“Alhamdulillah, sambutan diberikan terhadap lagu ini sangat bagus. Walaupun kami belum ‘all out’ dari sesi promosi, tapi peminat sudah memberikan sokongan dari awal sampai sekarang.

“Memandangkan lagu ini juga projek sulung syarikat kami, segalanya dibuat sendiri dari awal sampai habis. Jadi, kami ada perancangan tersendiri supaya lagu ini boleh pergi jauh seperti single sebelum ini.

“Insya-Allah, kami merancang untuk mencalonkan lagu ini pada Muzik Muzik 35. Malah, itu juga menjadi harapan pada peminat kami,” katanya.

BERSYUKUR tawaran bekerja dari rumah tidak pernah putus.
BERSYUKUR tawaran bekerja dari rumah tidak pernah putus.

Aku Kau Dan Muzik

Berkongsi mengenai single terbaharu yang turut menampilkan komposer Freddy itu, Stacy berkata, lagu itu dianggap sangat istimewa kerana dihasilkan dari dalam hati selain proses yang teliti.

“Lagu ini sudah lama disiapkan iaitu sejak Ogos tahun lalu. Tapi, disebabkan kami terbabit dalam program Mentor 2019, jadi projek ini tertangguh. Awal tahun ini baru kami ada kelapangan untuk memulakan proses rakaman.

“Melodi siap dulu dan baru saya tulis lirik. Selepas itu, baru dapat tajuk dan kami sepakat pilih tajuk ini. Tidak dijangka pula, melodi dan lirik kena dengan kami yang mana bertemu dalam bidang ini.

“Lagu ini dihasilkan ikhlas dari dalam diri kami yang mana ekspresi kami sebagai suami isteri. Disebabkan itu, kami sangat teliti dari semua sudut termasuk rentak, melodi dan muzik,” katanya.

Banyak masa di rumah

Stacy berkongsi, sejak terbabit dalam bidang penciptaan lagu, masanya lebih banyak dihabiskan di rumah. Sekali gus membolehkan dia meluangkan waktu bersama dua anak dan menguruskan rumah tangga.

Dalam masa sama, Stacy bersyukur apabila tawaran kerja yang memerlukan dia bekerja dari rumah tidak pernah putus.

“Kalau dahulu terikat dengan komitmen kerja, susah nak duduk lama di rumah. Tapi, sejak terbabit dalam bidang penciptaan lagu, saya dan suami banyak menghabiskan masa bersama. Apatah lagi ketika nak mencari idea.

“Tidak dijangka pula, tawaran kerja yang menuntut tugasan dibuat dari rumah sentiasa ada. Itu membuatkan masa saya lebih banyak lagi di rumah. Selain dapat buat kerja, kualiti masa dengan anak-anak tidak terbuang.

“Sampai saya selalu cakap, kalau rezeki itu memang milik kita, dari rumah pun boleh buat duit. Disebabkan itu, saya seronok dengan apa yang dibuat sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:00 AM