AKIM, Stacy dan Marsha ketika menerima hadiah kemenangan pada AJL 36.
AKIM, Stacy dan Marsha ketika menerima hadiah kemenangan pada AJL 36.
Sudirman Mohd Tahir

SELAIN cemerlang sebagai penyanyi, bidang penciptaan lagu turut memberi tuah kepada Akim Ahmad, 29.

Menggunakan nama pena Hang Nadim, Akim sebelum ini pernah memenangi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) menerusi lagu Potret bersama kumpulan Akim & The Majistret.

Sekali lagi, Akim melakar kejayaan di pentas berprestij itu menerusi lagu Cinta ciptaan bersama isteri tercinta juga penyanyi, Stacy yang dinyanyikan Marsha Milan pada AJL 36, Ahad lalu.

Lagu itu berjaya dinobatkan Naib Juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi AJL.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, dia sangat berterima kasih kepada dua wanita yang dianggap cukup memberikan inspirasi dalam lagu Cinta iaitu Stacy dan Marsha yang sudah memberikan persembahan terbaik pada malam AJL.

"Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa. Terima kasih isteri terpaling dicintai yang menjadikan seorang pejuang dengan rasa cinta dalam diri. Terima kasih bersama menghasilkan lagu Cinta.

"Terima kasih tak terhingga kepada Marsha yang mempersembahkan persembahan sehingga tak terkelip mata kami. Dengan susunan muzik yang epik oleh Genervikam, saya sangat terharu bila lagu ini dipersembahkan sebegini rupa.

"Terima kasih Cikgu Shafi yang membantu menyiapkan Marsha. Dan terima kasih buat kejutan dengan nyanyian yang penuh dengan penceritaan dan emosi, 'power'!" katanya.

AKIM puji komitmen dan profesional Marsha dalam bekerja.
AKIM puji komitmen dan profesional Marsha dalam bekerja.

Menurut Akim, dia dan Stacy gembira dan puas hati dengan persembahan Marsha dan kemenangan yang dicapai menjadi satu bonus.

"Marsha seperti Mike Tyson waktu berlawan. Apabila bekerja dengan dia, saya nampak dia sangat profesional dan komited dengan kerja. Dia sangat kuat. Saya tak terkejut dia dapat membuat persembahan dengan sangat baik.

"Lagu Cinta memang karya yang dibuat khas untuk Marsha. Kami hanya datang tanpa harapan dan percaya Marsha mampu melakukan persembahan terbaik. Jujurnya, apabila tengok persembahan Marsha saya dan Stacy menjadi lebih yakin jika lagu ini ada rezeki pada AJL 36," katanya.

Sementara itu, Stacy berkata, kemenangan lagu Cinta juga adalah rezeki dan aturan Allah SWT.

"Saya terkejut sebab tujuh kali masuk AJL tak pernah naik pentas (menang). Allah sudah aturkan masing-masing. Sangat cantik dan tak terduga. Masih terkejut juga. Persembahan Marsha memang terbaik," katanya.

Selain memenangi tempat kedua, persembahan lagu Cinta itu turut melayakkan Marsha memenangi kategori Persembahan Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai RM18,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:30 AM