FIEYA Julia. FOTO ihsan IG
FIEYA Julia. FOTO ihsan IG
Norhayati Nordin

PENYANYI lagu Perasaanku dan Seperti Ini,  Fieya Julia mengaku dia rela tidak memiliki kekasih ketika ini kerana enggan dirinya dikongkong lelaki.

Fieya, 21, atau nama sebenar Nur Syafiyah Sejali berkata dia pernah mengalami pengalaman 'dikongkong' itu di zaman persekolahannya dahulu.

"Ketika itu saya belum matang lagi, remaja sekolah dan cuba-cuba bercinta. Jadi, saya ikut sahaja apa yang dikawal dan dilarang teman lelaki.

"Terutama, apabila dia (bekas teman lelaki) tak mahu saya melayan peminat walaupun sudah aktif menyanyi di sekitar Sarawak," katanya kepada Harian Merto.

Menurut Fieya, oleh itu memandangkan sekarang sudah solo, maka dia enggan terikat dengan cinta lagi kerana fokus utama pada kerjaya seni. 

"Apa yang pasti, saya taknak di kongkong oleh orang lain seperti kekasih. Kerjaya seni saya pun masih baharu dan perlukan usaha gigih untuk memantapkannya.

"Buat masa ini, saya selesa berkawan sahaja sebagaimana konsep 'teman tapi mesra'. Cukuplah, individu itu sekadar jadi pemberi sokongan," katanya.

Mengulas juga mengenai gosip, Fieya berkata dia lebih memilih untuk dikenali peminat melalui bakat berbanding kisah sensasi terutama peribadi.

"Sebab itu, apabila lagu saya lebih popular dan dikenali daripada penyanyinya, saya okay sahaja serta sangat bersyukur.

"Saya memang kalau boleh tak mahu terpalit gosip walau sedikit pun. Saya ingin menjaga nama baik diri dan keluarga," katanya.

Apapun, Fieya berkata kini dia gembira namanya makin dikenali selepas pembabitan dalam pertandingan Big Stage, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 1:44 PM