FIEYA.
FIEYA.
Ramlah Zainal

Bakat pendatang baru, Fieya Julia mula digilap dengan memuat naik video nyanyian semula artis popular di YouTube sejak 2012.

Malah, lagu dendangannya itu juga mendapat tontonan lebih 300,000 di YouTube.

Ternyata tuah menyebelahi penyanyi dari Kuching, Sarawak ini apabila dilamar syarikat rakaman Aries Music Sdn Bhd untuk bernaung di bawah pengurusannya tahun ini.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Nur Syafiyah Sejali, 19, ini sangat bersyukur kerana impian bergelar penyanyi rakaman akhirnya tercapai.

“Saya memang minat menyanyi sejak di bangku sekolah rendah dan pernah memasuki pertandingan Bintang Kecil RTM peringkat Sarawak sebelum ini.

“Namun, bakat nyanyian mula mendapat perhatian ramai apabila saya mula menyanyikan semula lagu artis popular tanah air seperti Projector Band, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi,” katanya.

Demi mengejar impian menjadi penyanyi, Fieya juga mula belajar erti hidup berdikari dan berhijrah ke Kuala Lumpur tahun ini.

“Saya mahu mengejar impian menjadi penyanyi sekali gus mengubah nasib keluarga. Saya menganggap tawaran bernaung di bawah pengurusan Aries Music pada pertengahan Mei lalu sebagai rezeki yang sukar ditolak.

“Saya menerima tawaran menyertai Aries Music kerana yakin dengan kemampuan syarikat yang turut menguruskan penyanyi popular seperti Aiman Tino dan Sufian Suhaimi itu,” katanya.

Buat permulaan, Fieya juga mempertaruhkan single pertamanya berjudul Perasaanku yang juga genre rock balada ciptaan komposer baru, Amir Hariz.

“Bersandarkan pengalaman banyak menyanyikan semula lagu dendangan artis popular di YouTube dan Instagram, saya berharap kehadiran diterima peminat dalam bidang hiburan tanah air.

“Saya juga bersedia bersaing secara positif dengan artis baru sedia ada untuk mendapat tempat dalam bidang hiburan tanah air,” katanya.

Dugaan kediaman terbakar

Baru saja bergelar artis rakaman, Fieya sudah berdepan ujian apabila kediamannya di Taman Maluri, Cheras terbakar pada pagi Aidilfitri lalu.

“Kejadian itu berlaku pada pagi raya pertama ketika saya dan rakan serumah sedang tidur ketika itu. Kami tersedar apabila terhidu bau asap dan rupa-rupanya ada bilik yang terbakar. Mujur, kami semuanya selamat. Pastinya saya sedih dengan kejadian itu tetapi reda dengan ujian Allah,” katanya.

Walaupun berdepan ujian, anak bongsu daripada tiga beradik ini tidak patah semangat untuk terus merealisasikan impian dalam bidang nyanyian.

“Saya bersyukur kerana pembabitan dalam bidang nyanyian juga mendapat restu daripada bapa yang juga pesara tentera laut.

“Emak sudah meninggal dunia kerana barah pada 2004 dan kini ayahlah yang menjaga kakak sulung yang juga orang kelainan upaya.

“Saya sangat berharap dapat membantu meringankan beban keluarga dengan menceburi bidang nyanyian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 12:00 PM